shopify analytics ecommerce
tracking

Fungsi, peranan Surat Kuasa Wakil hartanah

25 Jan 2023

SURAT Kuasa Wakil adalah satu surat cara yang digunakan dengan meluas, termasuk untuk urusan dan transaksi yang membabitkan hartanah.

Ia satu dokumen pelantikan wakil oleh pemberi kuasa, di mana pemilik harta melantik seorang wakil (sebagai pemegang kuasa) yang akan bertindak bagi pihak beliau (pemberi kuasa) bagi menguruskan harta miliknya berserta kuasa tertentu yang diberikan kepada wakil berkenaan, sebagaimana yang dinyatakan di dalam surat cara Surat Kuasa Wakil yang disediakan secara bertulis.

Surat Kuasa Wakil boleh digunapakai terhadap aset tidak alih dan aset alih.

Pemberi kuasa menyerahkan kuasa kepada penerima kuasa sebagai wakil untuk apa-apa urusan yang berkaitan harta yang dinyatakan.Ia boleh berbentuk boleh dibatalkan atau tidak boleh dibatalkan.

Antara sebab pemberi kuasa melantik penerima kuasa untuk melakukan perkara-perkara yang dinyatakan di dalam Surat Kuasa Wakil ialah kerana hendak ke luar negara untuk jangka waktu yang lama, sukar menguruskan harta kerana uzur tubuh badan, memasuki perjanjian untuk memajukan tanah dengan pihak pemaju, menerima balasan tertentu biasanya dalam bentuk wang lalu menyerahkan hartanah dan memberi kuasa, sementara pindah milik sebenar disempurnakan, dan kepada pembiaya sebagai dokumen sekuriti pembiayaan.

Antara contoh peruntukan yang biasa ditemui di dalam Surat Kuasa Wakil yang membabitkan hartanah ialah kuasa untuk memindah milik kepada sesiapa juga termasuk pemegang kuasa, menandatangani suratcara pindah milik, menjual dan menerima hasil jualan, menerima bayaran sewa, menggadai dan melaksanakan semua tindakan yang berkaitan dengannya.

Jelas bahawa kuasa yang diberi adalah sangat luas dan boleh mendatangkan kemudaratan kepada pemberi kuasa jika ia diberi kepada pihak yang tidak bertanggungjawab atau diperolehi secara tipu.

Manakala, dalam kes pembiayaan yang diberi oleh institusi kewangan, satu surat cara Surat Kuasa Wakil juga akan diminta untuk ditandatangani oleh peminjam, terutama untuk hartanah yang belum memiliki suratan hakmilik individu.Surat Kuasa Wakil kepada bank ini adalah sebagai dokumen sekuriti tambahan, selain perjanjian pembiayaan.

Apabila suratan hakmilik individu diterbitkan kelak, pihak bank mempunyai kuasa untuk menandatangani apa-apa dokumen yang membabitkan pindah milik dan/atau gadaian, sekiranya pemilik enggan atau tidak dapat dikesan atau ingkar dalam pembayaran balik.Terdapat Surat Kuasa Wakil jenis tidak boleh batal.

Ia hendaklah dinyatakan dengan jelas sebagai surat kuasa wakil yang tidak boleh batal, di dalam Surat Kuasa Wakil berkenaan.Hendaklah dinyatakan bahawa Surat Kuasa Wakil itu diberikan dengan mendapat suatu balasan yang berharga, yang menjadikannya tidak boleh batal.

Kesannya, kuasa yang diperolehi oleh pemegang kuasa, tidak boleh dibatalkan pada bila-bila masa melalui apa cara pun, tanpa mendapat persetujuan penerima kuasa.Ia tidak akan batal disebabkan oleh kematian, kecelaruan mental, tidak sempurna akal atau sekiranya pemberi kuasa menjadi bankrap.

Satu lagi jenis surat kuasa wakil tidak boleh batal ialah yang dinyatakan sebagai tidak boleh batal bagi suatu masa yang ditetapkan.

Hendaklah dinyatakan di dalam surat cara berkenaan bahawa kuasa yang diberikan sebagi tidak boleh batal selama suatu masa yang ditetapkan di dalamnya, sama ada dengan suatu balasan berharga atau tidak.

Kuasa di bawah surat cara begini juga tidak boleh dibatalkan dalam masa yang ditetapkan, tanpa persetujuan penerima kuasa sama ada disebabkan oleh kematian, kecelaruan mental, tidak sempurna akal atau kebankrapan pemberi kuasa.

Peruntukan ini dinyatakan bawah Seksyen 6 dan 7, Akta Surat Kuasa Wakil 1949 (Akta 424).Terdapat juga Surat Kuasa Wakil yang mewakilkan kuasa untuk melaksanakan kuasa termasuk pindah milik dan gadaian yang membabitkan tanah yang tertakluk kepada Kawasan Tanah Rizab Melayu di bawah Enakmen Tanah Rizab Melayu Negeri masing-masing.

Sekiranya terdapat surat cara yang ditandatangani oleh pemegang kuasa untuk melaksanakan transaksi kepada orang bukan Melayu, ia akan dihalang untuk didaftarkan kerana tidak sah dan terbatal.

Selain Akta 424, peruntukan di dalam Enakmen Tanah Rizab Melayu adalah terpakai dan hendaklah dibaca terlebih dahulu sebelum suatu Surat Kuasa Wakil yang membabitkan tanah kategori begini, diwujudkan.

Di bawah Seksyen 3 (1)(a), Akta 424, hanya pihak yang disenaraikan boleh menyaksikan tandatangan.Jika Surat Kuasa Wakil itu disempurnakan di Semenanjung Malaysia, ia mesti disaksikan dan

disahkan dan disempurnakan antaranya oleh seorang Majistret, Jaksa Pendamai atau Pentadbir Tanah atau Notari Awam atau Pesuruhjaya Sumpah atau Peguambela dan Peguamcara atau seorang pegawai yang bertindak dalam penggajiannya di syarikat yang menjalankan perniagaan bank di Semenanjung Malaysia serta diperbadankan oleh atau yang menurut mana-mana undang-undang bertulis yang berkuat kuasa di Semenanjung Malaysia.

Manakala, jika disempurnakan di luar Semenanjung Malaysia, ia hendaklah disaksikan dan disahkan oleh pihak-pihak yang disenaraikan di bawah Seksyen 3 (1)(b), Akta 424.

Surat cara Surat Kuasa Wakil biasanya disediakan dalam dua atau beberapa salinan mengikut keperluan.Satu salinan asal untuk simpanan dan salinan lain digunakan untuk didepositkan di mahkamah dan/atau pejabat tanah.

Surat kuasa wakil hendaklah disetemkan. Jika terdapat apa-apa balasan untuk pemberian Surat Kuasa Wakil, pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri boleh mengenakan duti setem mengikut nilaian harta yang terbabit.

Taksiran akan dibuat dan kini dibuat secara meluas secara atas talian dan notis taksiran akan diterbitkan. Selepas bayaran dibuat, satu sijil setem akan dikeluarkan.

 

 

Hanya surat kuasa wakil yang didepositkan di Mahkamah Tinggi mempunyai keesahan untuk mewujudkan kuasa.Surat kuasa wakil hendaklah didepositkan (didaftarkan) di pejabat Penolong Kanan Pendaftar, Mahkamah Tinggi.

Secara umumnya, ia hendaklah didaftarkan di bahagian yang mengendalikan urusan ini di Mahkamah, yang dikenali sebagai Bahagian Surat Kuasa Wakil.

Antara tugasan bahagian ini yang diperolehi dari portal rasmi mahkamah Kuala Lumpur ialah menerima Surat Kuasa Wakil yang didaftarkan secara manual di kaunter pendaftaran dan secara dalam talian, menyimpannya dalam keadaan teratur dan sistematik, menerima dan meluluskan permohonan untuk pengesahan status surat kuasa wakil, serta beberapa lagi tugasan berkaitan urusan Surat Kuasa Wakil ini seperti carian dan mengeluarkan salinan diakui sah.

Ia juga perlu dikemukan di pejabat tanah yang berkaitan menurut peruntukan Seksyen 157 A dan 157 B yang membabitkan surat kuasa berkenaan permohonan ke atas tanah, dan di bawah Seksyen 309, 310 dan 311 Kanun Tanah Negara 1965 berkaitan urus niaga atas tanah seperti pindah milik atau gadaian.

Bagi pembatalan pula,setiap notis pembatalan surat kuasa wakil haruslah difailkan bersama salinan asal surat kuasa wakil yang hendak dibatalkan.

Kesimpulannya, terdapat peruntukan undang-undang khas untuk surat kuasa wakil.Satu akta khas digubal untuknya dan terdapat peruntukan lain yang khas berkaitannya untuk urusan membabitkan tanah, di bawah Kanun Tanah Negara, 1965.

Ini menunjukkannya adalah satu surat cara yang penting dan serius.Sebelum kuasa diwakilkan kepada penerima wakil, pemberi kuasa hendaklah memahami sebenarnya kandungan surat wakil kuasa.

Lebih-lebih lagi jika ia disediakan oleh pihak penerima kuasa.Lantiklah peguam sendiri untuk meneliti kandungannya sebelum tandatangan sebagai pemberi kuasa diturunkan.

Penulis adalah Peguam di Tetuan Nazri Azmi Islinda, Cheras.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2023/01/1053960/fungsi-peranan-surat-kuasa-wakil-hartanah

 


>> Back to News


Print