shopify analytics ecommerce
tracking

REHDA rayu yuran rekalibrasi pekerja asing dikurangkan

07 Feb 2023

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) meminta kerajaan mengurangkan lagi yuran rekalibrasi tenaga kerja bagi mengambil semula pekerja asing yang ketika ini dikekalkan pada RM1,500.

Presiden REHDA, Datuk NK Tong, berkata Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini adalah langkah yang amat dialu-alukan untuk industri pembinaan dan hartanah.

Katanya, sebagai suara pemaju hartanah di Malaysia, REHDA Malaysia menyokong inisiatif itu dan berharap semua pemaju akan mengambil kesempatan daripada program itu untuk memastikan status imigresen pekerja asing mereka mematuhi undang-undang.

"Persatuan bagaimanapun menyuarakan kebimbangannya terhadap keputusan kerajaan untuk mengekalkan yuran rekalibrasi pada RM1,500 walaupun banyak desakan untuk menyemak dan mengurangkannya.

"Yuran ini adalah terlalu tinggi untuk kebanyakan perniagaan dan pengusaha, terutamanya dalam industri di mana beratus-ratus pekerja digunakan dalam satu projek. Jumlah ini akan menambah beban kewangan yang besar yang mungkin tidak menyumbang kepada daya maju dari segi kewangan.

"Kami percaya bahawa yuran ini seharusnya dikenakan serendah mungkin untuk menggalakkan perniagaan berkaitan mengambil bahagian dalam program ini, jika tidak jumlah yang tinggi boleh menjadi penghalang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Tong berkata, menerusi program itu, matlamat kerajaan adalah seharusnya untuk membantu pemulihan industri dan ekonomi negara, supaya syarikat boleh menawarkan lebih banyak pekerjaan kepada lebih ramai pekerja dan mendapat keuntungan untuk membayar cukai.

"Program ini sendiri tidak seharusnya dijadikan sebagai sumber pendapatan kerajaan. Pada masa semua kos terus meningkat, kehadiran kerajaan adalah untuk membantu," katanya sambil memuji bayaran dokumentasi pinjaman perumahan yang dimansuhkan baru-baru ini sebagai contoh yang baik untuk mengurangkan kos menjalankan perniagaan.

Beliau menambah, dengan mengurangkan yuran berkenaan, sebarang penjimatan boleh disalurkan kepada bakal pembeli melalui harga rumah yang lebih rendah, walaupun pemaju bergelut untuk menurunkan harga kerana menghadapi inflasi berterusan dan meningkat.

"Walaupun kos yang tinggi, REHDA menggalakkan majikan dalam semua industri yang mempunyai pekerja asing tanpa izin untuk mengambil bahagian dalam program rekalibrasi ini bagi memastikan kesejahteraan pekerja dilindungi, dan projek serta perniagaan boleh disambung semula tanpa sebarang masalah.

"Kami berharap ahli akan mematuhi undang-undang ini, kerana keengganan untuk berbuat demikian boleh menjejaskan perkembangan projek semasa dan pembangunan yang dirancang pada masa hadapan.

"REHDA akan terus menggalakkan ahli menjalankan tanggungjawab membina negara dengan menyediakan rumah mampu milik berkualiti kepada rakyat dengan berkesan dan cekap," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2023/02/1060699/rehda-rayu-yuran-rekalibrasi-pekerja-asing-dikurangkan

 

 


>> Back to News


Print