shopify analytics ecommerce
tracking

Majoriti pemaju mahu naikkan harga rumah tahun ini

23 Feb 2023

PETALING JAYA: Lebih separuh pemaju merancang untuk menaikkan harga projek perumahan baharu tahun ini bagi menampung kenaikan kos harga bahan binaan yang terus tinggi, demikian mengikut tinjauan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).

Melalui Tinjauan Industri Hartanah Separuh Kedua 2022 dan Unjuran Pasaran 2023 REHDA, 63 peratus pemaju memilih untuk meningkatkan harga jualan hartanah sebagai langkah teratas untuk mengatasi kenaikan kos bahan binaan.

Ia diikuti oleh merendahkan margin keuntungan sebanyak 55 peratus dan menggunakan bahan yang lebih menjimatkan kos serta membina unit lebih kecil, masing-masing sebanyak 53 peratus.Selain itu, 68 peratus responden menjangkakan kos yang lebih tinggi akan berterusan lebih daripada 12 bulan.

Responden turut melaporkan lebih 20 peratus kenaikan harga purata bagi simen, keluli, aluminium, dan batu bata yang menyebabkan kos pembinaan secara purata meningkat sebanyak 17 peratus.

Mengulas mengenai kenaikan harga rumah, Presiden REHDA, Datuk NK Tong, berkata pemaju tiada pilihan dan terpaksa melakukannya kerana mahu menampung kenaikan kos yang tinggi.

"Berdasarkan tinjauan yang dibuat ini, secara purata responden memberi jawapan dua digit apabila ditanya berapakah peratus kenaikan harga hartanah.

"Namun dalam masa sama, sepanjang tempoh enam bulan ini, jangkaan untuk harga hartanah meningkat telah menurun disebabkan oleh kos bahan binaan yang menyederhana," katanya pada taklimat media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), Ari Adam. NAPIC adalah agensi di bawah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Tinjauan itu disertai 136 ahli REHDA di Semenanjung Malaysia yang dikendalikan oleh REHDA Institute dengan bantuan Sunway Institute for Global Strategy and Competitiveness (IGSC), Sunway University.

Dalam pada itu, Tong berkata, lebih ramai responden dalam tinjauan itu merancang untuk melancarkan projek pada separuh pertama 2023, terdiri daripada 7,650 unit bertanah, 8,266 unit strata dan 435 unit komersial.Bagaimanapun, 85 peratus daripada responden menjangkakan prestasi jualan mereka adalah 50 peratus dan ke bawah.

"Kebanyakan negeri menyasarkan untuk melancarkan kebanyakan unit berharga di antara RM250,001 hingga RM500,000, kecuali Johor (RM700,001 hingga RM1 juta) manakala Kelantan dan Terengganu tiada perancangan untuk hartanah baharu.

"Responden kebanyakannya optimistik dengan prospek 2023, terutamanya untuk separuh kedua tahun ini."Kami berharap industri hartanah akan terus berkembang di bawah Kerajaan Perpaduan, yang mana pendekatan proaktif telah membantu menyelesaikan isu-isu mendesak seperti kekurangan buruh," katanya.

Beliau menambah, REHDA juga memuji usaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ke arah penambahbaikan industri.

"Bagaimanapun, berurusan dengan agensi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan masih renyah dengan kerumitan, seperti apabila membabitkan kos pematuhan."Kami berharap kementerian akan meneliti perkara ini untuk memastikan industri kekal sihat untuk semua pemain," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2023/02/1067664/majoriti-pemaju-mahu-naikkan-harga-rumah-tahun-ini

 


>> Back to News


Print