shopify analytics ecommerce
tracking

Ansuran rumah bertambah 3.5 peratus setiap 25 mata OPR

13 Mar 2023

KUALA LUMPUR: Bayaran ansuran rumah bagi rumah yang dibeli pada harga RM500,000 dengan 90 peratus pembiayaan akan bertambah antara RM66 hingga RM69 atau 3.3 hingga 3.5 peratus bagi setiap kenaikan 25 mata asas Kadar Dasar Semalaman (OPR), demikian menurut analisis yang dibuat oleh AmInvestment Bank Bhd.

Penganalisisnya, Khoo Zing Sheng, berkata ahli ekonomi bank pelaburan itu menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi pada tahun ini, kepada 3.00 peratus.Katanya, kenaikan itu akan menjadikan kadar faedah kembali ke paras prapandemik.

"Walaupun kenaikan kadar faedah akan menjejaskan sentimen pengguna, kami percaya bahawa Malaysia menghampiri pengakhiran kitaran kenaikan kadar faedah.

"Selain itu, sentimen pengguna yang lebih lemah akan diimbangi oleh pertumbuhan ekonomi dan tinjauan pekerjaan yang secara relatifnya masih mantap susulan pembukaan semula sempadan antarabangsa," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Dalam perkembangan lain, Zing Sheng berkata AmInvestment Bank percaya bahawa kebanyakan kos bahan binaan telah mencapai kemuncak pada suku kedua 2022, berikutan gangguan rantaian bekalan yang semakin berkurangan.

Beliau berkata, harga keluli di tengah Semenanjung turun 29 peratus kepada RM3,099 satu tan pada Januari 2023 daripada kemuncak RM4,344 satu tan pada April hingga Mei 2022, manakala harga sekampit simen meningkat kepada RM19.23 bagi setiap beg 50 kilogram, lapan peratus lebih tinggi berbanding tahap Januari 2021.

"Walaupun harga keluli kekal lebih tinggi berbanding sebelum pandemik, kami percaya bahawa kenaikan kos bahan binaan bagi projek baharu akan diimbangi melalui penggunaan sistem binaan perindustrian (IBS), pembelian pukal dan inisiatif penjanaan semula nilai oleh pemaju," katanya.

Menuju ke hadapan, beliau berkata bank pelaburan itu menjangkakan pemulihan beransur-ansur jumlah transaksi hartanah dengan sentimen pasaran yang semakin baik dan permintaan lebih kukuh, ditambah oleh anggaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.5 peratus bagi 2023 dan pemulihan pasaran pekerjaan.

Katanya, ini akan terus disokong oleh pelancaran dan sasaran jualan lebih agresif dalam kalangan pemaju pada 2023."Kami percaya pemaju terpilih dengan simpanan tanah strategik di lokasi perdana seperti pusat bandar raya dan bandar-bandar matang, dengan reputasi mantap akan terus mengekalkan momentum jualan yang positif tahun ini," katanya.

Pilihan utama AmInvestment Bank adalah Sunway berikutan pengiktiarafan jenama daripada pembangunan mercu yang sangat berjaya selain langkah mengembangkan perniagaan penjagaan kesihatan."Kami memilih Lagenda berikutan fokusnya kepada pembangunan perumahan bertanah mampu milik di negeri-negeri tahap kedua yang mempunyai penduduk dalam kumpulan pendapatan B40 dan M40 yang besar.

"Kami turut menggemari Mah Sing berikutan kekuatannya dalam pembangunan perumahan mampu milik di lokasi-lokasi strategik, selain model perniagaannya yang bijak dan pulih dengan pantas," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2023/03/1074505/ansuran-rumah-bertambah-35-peratus-setiap-25-mata-opr

 


>> Back to News


Print