shopify analytics ecommerce
tracking

Kenaikan kos binaan jejas daya maju projek pembangunan - REHDA

17 Mar 2023

KUALA LUMPUR: Sebarang kos tambahan dalam sektor hartanah akibat kenaikan mendadak bahan binaan, kos pekerja dan dasar berlebihan ke atas industri, berkemungkinan terlalu punitif dan menjejaskan daya maju ekonomi projek-projek pembangunan.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah Malaysia (REHDA) Datuk NK Tong berkata jika sebelum ini pemaju mampu menyerap kenaikan kos terbabit, namun pelbagai cabaran serta tindakan yang dihadapi sejak kebelakangan ini sebaliknya telah memberi kesan dari segi toleransi pemaju.

"Dalam kes tertentu, kos tambahan ini berkemungkinan menjejaskan projek pembangunan ini untuk berdaya maju dari segi ekonomi."Saya yakin pemaju akan bersetuju bahawa usaha melaksanakan pembangunan di Malaysia bukanlah suatu yang mudah kerana industri ini tertakluk atau dikawal selia oleh lebih 50 undang-undang," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-50 REHDA di sini, malam tadi.

Acara itu turut dihadiri oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Mengulas selanjutnya, Tong berkata pembangunan perumahan sektor swasta di Malaysia juga tidak hanya terhad kepada penyediaan rumah tetapi turut merangkumi penyediaan infrastruktur dan kemudahan secara meluas.

Ini turut membabitkan usaha memastikan penyelenggaraan dan pengurusan yang tepat terutama bagi skim strata selain mengutamakan aspek keselamatan, menggalakkan kehidupan masyarakat dan elemen lain.

"Oleh itu, lebih kerap lagi pemaju menjadi 'sasaran' untuk membayar atau menyumbang kepada sebarang pematuhan baharu yang dikenakan oleh pihak berkuasa atau syarikat utiliti swasta," katanya.

Tong berkata, Tinjauan Industri Hartanah Rehda bagi separuh kedua 2022 menunjukkan berlakunya lebih daripada 20 peratus dalam purata kenaikan harga simen, keluli, aluminium dan batu bata serta peningkatan purata tahunan sebanyak 17 peratus dalam kos pembinaan.

"Jabatan Perangkaan Malaysia turut merekodkan indeks harga unit simen yang meningkat 9.6 peratus pada Februari 2023 berbanding Februari 2022 manakala bahan lain juga naik secara mendadak susulan pandemik," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2023/03/1077566/kenaikan-kos-binaan-jejas-daya-maju-projek-pembangunan-rehda

– Bernama

 


>> Back to News


Print