Pemaju tersepit kos bahan binaan, kadar faedah tinggi
28 Mar 2023KUALA LUMPUR: Pasaran hartanah pada tahun ini dijangka terus mencabar dengan pemaju berkemungkinan terpaksa menangguhkan pelancaran hartanah mereka, berikutan ruang yang terhad untuk pemaju menaikkan harga di tengah-tengah peningkatan kos bahan binaan dan kadar faedah yang tinggi.
Penganalisis Kenanga Research, Lum Joe Shen, berkata, sektor hartanah tempatan akan terus dibelenggu oleh lebihan bekalan dan kemerosotan kemampuan pengguna dari segi harga berikutan kenaikan kadar faedah dan inflasi.
Beliau berkata, faktor berkenaan dilihat menjejaskan kuasa perbelanjaan pengguna, apatah lagi bagi pembelian barang keperluan berharga tinggi seperti rumah.
Katanya, walaupun semua pemaju melaporkan jualan yang kukuh dalam tahun kewangan 2022, mereka akan menghadapi cabaran yang lebih besar dalam tahun kewangan 2023.
"Pemaju akan merasai beban penuh kontrak yang ditandatangani pada harga tinggi dengan kontraktor pada tahun kewangan 2021 hingga 2022 semasa pandemik di tengah-tengah harga bahan binaan yang melambung tinggi dan kekurangan buruh, memandangkan penghantaran kontrak bangunan itu semakin pantas dalam tahun kewangan 2023," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Joe Shen berkata, margin pemaju yang bertahan dengan baik sejak dua tahun lalu berkemungkinan dalam aliran menurun bagi tahun kewangan 2023.Justeru, katanya, dengan ruang terhad untuk menaikkan harga di tengah-tengah kemampuan harga yang merosot kepada pembeli dan inflasi kos pembinaan yang berterusan, pemain mungkin perlu mengurangkan atau menangguhkan pelancaran baharu.
Kenanga Research mengekalkan saranan 'neutral' kepada sektor hartanah dengan mengutamakan pemaju yang mampu menjana jualan yang konsisten dan seterusnya mengekalkan aliran tunai mereka untuk memperoleh dividen yang baik di tengah-tengah pasaran yang lemah.
Ia berkata, dalam persekitaran operasi yang sangat mencabar itu, pihaknya memilih pemaju dengan aliran tunai yang kukuh yang boleh meraih dividen yang baik seperti Eco World Development Group Bhd untuk penjenamaan kukuhnya dan IOI Properties Group Bhd untuk nilai tersembunyi dalam hartanah pelaburan utamanya di Lembah Klang, Singapura dan China yang berpotensi dibuka melalui REIT.
Ia menetapkan harga sasaran 83 sen untuk Eco World dan RM1.60 untuk IOI Properties.Menurut data dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), permohonan pinjaman bagi hartanah memulakan tahun ini dengan lemah, apabila merosot sebanyak 12.6 peratus bulan ke bulan dan 25.6 peratus tahun ke tahun pada Januari 2023.
Permohonan pinjaman merosot selama lima bulan berturut-turut pada Januari lalu, yang mungkin disebabkan kesan tertunggak beberapa kenaikan kadar faedah pada 2022 yang menyebabkan ansuran bulanan lebih tinggi bagi pinjaman rumah, sekali gus menjejaskan minat pembelian.
Berbanding setahun sebelumnya, pinjaman rumah adalah kurang memberangsangkan apabila merosot sebanyak dua angka selama empat bulan berturut-turut.Permohonan bagi pinjaman hartanah adalah lesu berikutan minat belian kembali normal daripada permintaan terpendam sebelum ini, seperti yang diperhatikan pada pertengahan tahun lalu.
Sementara itu, MIDF Research dalam nota penyelidikannya berkata, ia melihat pemangkin yang terhad bagi sektor hartanah disebabkan oleh permohonan pinjaman yang kurang memberangsangkan memberikan isyarat tinjauan jualan baharu mencabar bagi sektor itu."Bagaimanapun, kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang dihentikan sementara boleh memberikan sedikit sokongan kepada pemulihan minat pembelian," katanya.
https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2023/03/1079033/pemaju-tersepit-kos-bahan-binaan-kadar-faedah-tinggi
>> Back to News