shopify analytics ecommerce
tracking

Cadangan Belanjawan 2023, kegusaran kadar faedah reda, manfaatkan sektor hartanah

06 Apr 2023

KUALA LUMPUR: Rancangan pembangunan yang dikemukakan kerajaan dalam Belanjawan 2023 dan jangkaan kenaikan kadar faedah yang semakin reda dijangka beri manfaat kepada sektor hartanah.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Loong Kok Wen, berkata cadangan kerajaan dalam bajet tahunan untuk menaik taraf lapangan terbang antarabangsa di Pulau Pinang dan Subang, Selangor serta mewujudkan zon kewangan khas di Iskandar Malaysia, seharusnya mendatangkan kesan limpahan positif kepada pasaran hartanah dalam jangka sederhana.

Katanya, zon ekonomi dan projek prasarana berpotensi akan menjadi pemangkin kepada sektor hartanah dengan bank pelaburan itu optimis dengan perancangan kerajaan bagi menampung permintaan, iaitu kemasukan pelabur, pelancong perniagaan dan pelancong biasa.

"Meskipun tidak banyak maklumat lanjut diberitahu berhubung perkara ini buat masa sekarang, perkembangan yang berpotensi menjadi pemangkin ini dapat membantu mendorong keyakinan dalam kalangan pembeli hartanah," katanya dalam nota penyelidikan.Kok Wen berkata, berhubung kadar faedah, krisis perbankan yang berlaku ketika ini mungkin menyebabkan kenaikan kadar yang semakin perlahan.

"Meskipun baru-baru ini terdapat ketidaktentuan dalam pasaran ekuiti, kami masih melihat adanya nilai dalam sektor hartanah. Hujah pelaburan kami tidak berubah iaitu peningkatan kadar faedah sedang menghampiri penamat, dan pembukaan semula sempadan China patut memberi manfaat kepada syarikat yang memiliki aset peruncitan dan hospitaliti.

"Walaupun Bank Negara (BNM) tidak menaikkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) tahun ini, krisis perbankan di Amerika Syarikat (AS) mungkin mendesak bank-bank pusat di rantau ini untuk memperlahankan kenaikan kadar faedah sambil memantau keadaan pasaran global.

"Hal ini agak menguntungkan bakal pembeli hartanah, kerana ia mungkin bermakna kadar gadai janji berkemungkinan besar akan menjadi stabil pada paras semasa (pada sekitar 4.0-4.1 peratus) dalam tempoh tiga hingga enam 6 bulan seterusnya," katanya.

Beliau berkata, bank pelaburan itu juga percaya peningkatan kadar faedah sepatutnya memuncak menjelang separuh pertama 2023 dengan penilaian saham semasa sudah pun mengambil kira impak kenaikan kadar lanjut terhadap permintaan hartanah.

"Momentum jualan dijangka berterusan pada 2023. Jumlah jualan hartanah meningkat 11 peratus suku ke suku pada suku keempat 2022. Namun dengan beberapa kenaikan OPR dan tekanan inflasi yang semakin meningkat, jumlah jualan hartanah hanya menyusut 2.0 peratus tahun ke tahun pada 2022.

"Di samping keadaan politik yang tidak stabil pada akhir 2022 apabila pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan pada November lalu, pembeli hartanah tidak begitu terganggu oleh faktor makroekonomi. Perkara ini mungkin disebabkan oleh pemulihan yang baik dalam pertumbuhan ekonomi pasca pandemik," katanya.

RHB Investment Bank berkata kebanyakan pemaju di bawah liputannya semakin optimis dengan pasaran hartanah tahun ini, memandangkan ia mempunyai rancangan pelancaran hartanah dan sasaran jualan yang agresif.

"Sektor hartanah ini diniagakan pada diskaun kira-kira 71 hingga 72 peratus pada penilaian aset bersih dinilai semula (RNAV) dan pemulihan dalam pertumbuhan permintaan dan perolehan pada 2023-2024 masih lagi belum dipertimbangkan.

"Baru-baru ini, penurunan harga saham hartanah membuka peluang keemasan kepada pelabur untuk mengumpul saham ini pada harga lebih rendah," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2023/04/1086392/cadangan-belanjawan-2023-kegusaran-kadar-faedah-reda-manfaatkan


>> Back to News


Print