shopify analytics ecommerce
tracking

Pasaran hartanah belum terima kesan kenaikan OPR

08 May 2023

KUALA LUMPUR: Pasaran hartanah di negara ini, terutama rumah kediaman setakat ini tidak menerima kesan yang besar dan menjejaskan minat pembeli baharu walaupun Kadar Dasar Semalaman (OPR) meningkat.

Pengarah Protasa Properties Sdn Bhd, Kamaruzaman Omar, berkata berdasarkan turun naik kadar faedah dalam tempoh 10 tahun sebelum ini, turun naik OPR tidak memberikan impak yang besar kepada pasaran hartanah.Beliau berkata, pembelian hartanah baharu masih berlaku kerana pembeli melihat kepada faktor lain pemilikan rumah seperti kawasan yang menarik, harga yang berpatutan dan keupayaan dalam bayaran pinjaman.

Berdasarkan data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), iaitu agensi di bawah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), katanya, transaksi hartanah mencecah 389,000 membabitkan nilai RM179.07 bilion pada 2022."Ia peningkatan sebanyak 29.5 peratus dari segi jumlah dan 23.6 peratus dari segi nilai pada tahun lalu berbanding 2021. Turun naik OPR kurang menjejaskan pasaran hartanah kerana transaksi masih berlaku jika rumah dan pasaran kekal menarik.

 

"Malah, sehingga hari ini masih berlaku transaksi hartanah dan tidak terjejas," katanya kepada BH sambil menambah, kadar faedah pinjaman perumahan sebelum pandemik COVID-19 adalah lebih tinggi berbanding ketika ini melebihi empat peratus.Ketika pandemik COVID-19 pada 2020, katanya, kerajaan menurunkan kadar OPR bagi menyesuaikan dengan kelembapan ekonomi ketika itu dan selepas ekonomi kembali pulih, kenaikan OPR dilaksanakan semula, tetapi masih rendah berbanding tempoh lima tahun sebelumnya."Ketika OPR rendah, ia beri permintaan tambahan kepada pembeli kerana pinjaman rendah. Namun, apabila OPR naik, pembeli kebanyakannya masih lagi mampu untuk membayar," katanya.

Ditanya mengenai trend pembeli hartanah kediaman ketika ini, Kamaruzaman berkata, rumah bawah harga RM300,000 kekal menjadi pilihan utama, meningkat 34.7 peratus pada 2022 berbanding tahun sebelumnya."Jualan hartanah kepada pembeli asing juga tidak terjejas kerana mereka perlu membeli hartanah di atas RM1 juta dan ia masih kecil iaitu sekitar satu peratus," katanya.

Sebelum ini, Timbalan Setiausaha Agung GERAKAN, Wendy Subramaniam, antara lain dilaporkan berkata, keputusan BNM menaikkan kadar OPR akan menjejaskan pasaran saham serta pasaran perumahan kerana harga rumah dan hartanah dipengaruhi perubahan OPR."Ia juga akan menyebabkan pelabur lebih berhati-hati sehingga harga rumah dan hartanah serta saham jatuh. Ini akan menjejaskan situasi kewangan orang yang mempunyai rumah dan hartanah serta saham.

"Keputusan untuk menaikkan OPR juga akan membuatkan rakyat terpaksa menghadapi kadar faedah pinjaman dan kos sara hidup yang lebih tinggi. Apabila OPR naik, bayaran ansuran bulanan sedia ada kepada bank pun akan naik."Ini akan menyukarkan kehidupan rakyat yang bergelut untuk membayar pinjaman mereka," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2023/05/1098002/pasaran-hartanah-belum-terima-kesan-kenaikan-opr

 


>> Back to News


Print