Permohonan pinjaman rumah sedikit terkesan kenaikan OPR
18 May 2023KUALA LUMPUR: Kenaikan 0.25 peratus Kadar Dasar Semalaman (OPR) awal bulan ini memberikan sedikit impak negatif kepada sektor hartanah memandangkan kadar faedah yang bertambah dijangka menyebabkan minat pembelian berkurangan disebabkan oleh ansuran pinjaman lebih tinggi.
Penganalisis MIDF Research, Jessica Low Jze Tieng, berkata firma penyelidikan itu menganggarkan bahawa setiap kenaikan 0.25 peratus kadar faedah akan meningkatkan sedikit pinjaman rumah yang bernilai RM500,000 sebanyak RM60 hingga RM70."Bagaimanapun, kami merasakan bahawa impak negatif itu adalah untuk jangka pendek memandangkan OPR dijangka kekal tidak berubah sehingga akhir 2023.
"Secara ringkasnya, kita mungkin akan melihat tindak balas terhadap permohonan pinjaman dalam bulan-bulan akan datang, namun impaknya dijangka sekejap," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Bank Negara Malaysia (BNM) pada 3 Mei lalu membuat keputusan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas atau 0.25 peratus kepada 3.0 peratus.Memandangkan OPR telah kembali normal ke paras prapandemik, ahli ekonomi MIDF Research menjangkakan bahawa OPR pada 3.0 peratus akan kekal tidak berubah untuk sepanjang 2023.
Sementara itu, menurut data yang dikeluarkan oleh BNM, permohonan pinjaman bagi pembelian hartanah kekal kukuh pada Mac lalu, apabila meningkat 21 peratus berbanding bulan sebelumnya selepas turut mencatatkan pertumbuhan dua angka pada Februari.
Jze Tieng berkata, permohonan pinjaman rumah pada Mac lalu melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh lebih dua tahun apabila minat pembelian meningkat selepas kenaikan OPR dihentikan pada Januari dan Mac.Beliau berkata, permohonan pinjaman pada Mac meningkat 10.8 peratus berbanding bulan sama tahun lalu, meneruskan momentum pertumbuhan tahunan sebanyak 39 peratus pada Februari.
"Secara terkumpul, permohonan pinjaman pada suku pertama 2023 adalah 5.5 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu, apabila minat pembelian hartanah lebih kukuh susulanpembukaan semula ekonomi dan sempadan negara," katanya.
Jze Tieng menambah, data permohonan pinjaman dan kelulusan pinjaman yang kukuh pada Mac lalu adalah positif kepada sektor hartanah kerana ia memberikan isyarat pemulihan minat pembelian selepas beberapa kenaikan OPR pada 2022.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa permohonan pinjaman yang kukuh itu mungkin terhenti sementara dalam beberapa bulan akan datang susulan kenaikan OPR pada bulan ini.
"Secara ringkas, kami kekal 'neutral' namun dengan kecenderungan positif terhadap sektor hartanah. Dari segi pilihan utama sektor ini, kami masih menggemari pemaju yang menumpu untuk membina projek dalam pasaran pertengahan dan mampu milik memandangkan permintaan bagi rumah sedemikian terutamanya berharga di bawah RM500,000 kekal kukuh, disokong oleh pembeli rumah kali pertama.
"Pilihan utama kami bagi sektor ini adalah Mah Sing Group (saranan 'beli' dengan harga sasaran 75 sen) dan Glomac (saranan 'beli' dengan harga sasaran 43 sen) disebabkan pendedahan tinggi kedua-duanya dalam segmen pasaran pertengahan dan rumah mampu milik," katanya.
https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2023/05/1102264/permohonan-pinjaman-rumah-sedikit-terkesan-kenaikan-opr
>> Back to News