shopify analytics ecommerce
tracking

Rumah siap gagal dijual semakin berkurangan

13 Jun 2023

KUALA LUMPUR: Jumlah unit kediaman siap tidak terjual yang semakin menunjukkan trend penurunan dijangka akan terus berkurangan, demikian menurut RHB Investment Bank Bhd.Penganalisis bank pelaburan itu, Loong Kok Wen, berkata bilangan kediaman yang tidak terjual boleh kekal di bawah paras 30,000 unit pada masa akan datang memandangkan pelancaran baharu semakin berkurangan, manakala banyak pemaju hartanah senaraian awam menumpukan perhatian untuk menghabiskan inventori tidak terjual masing-masing sepanjang empat hingga lima tahun lalu.

"Ia turut dirangsang oleh kejayaan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang diadakan antara 2020 hingga 2021," katanya dalam satu nota penyelidikan.Bilangan unit kediaman yang tidak terjual mencatatkan penurunan ketara 25 peratus pada 2022 berbanding tahun sebelumnya.

Sementara itu, Kok Wen berkata berdasarkan data yang baru diterbitkan oleh Pusat Maklumat Hartanah Negara (NAPIC), jumlah urus niaga hartanah meningkat daripada paras rendah iaitu 311,824 unit pada 2017 kepada 389,107 unit pada 2022.Beliau berkata, angka yang direkodkan pada 2022 hanya 10 peratus lebih rendah daripada paras puncakiaitu 430,403 unit yang dicatatkan pada 2011.

"Segmen hartanah perumahan yang lazimnya membentuk lebih 60 peratus daripada jumlah urus niaga juga menunjukkan trend yang serupa, dengan mencatat angka hanya 11 peratus lebih rendah daripada paras puncak pada 2012," katanya.Kok Wen menambah, nilai jumlah urus niaga hartanah mencecah sejumlah RM179 bilion pada 2022, 10 peratus melepasi rekod tertinggi sebelum ini iaitu RM163 bilion yang dicatatkan pada 2014.

Menurutnya, segmen hartanah perumahan juga melepasi paras puncak sebelum ini sebanyak 15 peratus."Walaupun jualan hartanah keseluruhan pada 2022 yang dicapai oleh syarikat-syarikat pemaju di bawah liputan kami tidak mengatasi paras tertinggi sebelum ini, data NAPIC menunjukkan berlaku kenaikan pasaran hartanah.

"Pasaran sekunder lazimnya merangkumi 80 peratus daripada jumlah urus niaga pasaran," katanya.Mengenai tinjauan masa depan industri hartanah, beliau berkata selaras dengan pasaran ekuiti lebih meluas,sentimen sektor dalam masa terdekat berkemungkinan terus tidak menentu berikutan pilihan raya negeri akan datang dan juga penurunan nilai ringgit.

Katanya, memandangkan jualan hartanah yang dijangka terus kukuh tahun ini boleh mendatangkan pertumbuhan perolehan yang baik kepada pemaju, RHB Investment Bank percaya minat pelabur akan kembali mekar sebaik sahaja kekangan-kekangan negatif ini berjaya diatasi."Kami menggemari pemaju perbandaran dan pemilik hartanah pelaburan, dengan IOI Properties dan Matrix Concepts masih menjadi pilihan utama," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2023/06/1113385/rumah-siap-gagal-dijual-semakin-berkurangan


>> Back to News


Print