shopify analytics ecommerce
tracking

Inisiatif i-Miliki tingkat pemilikan hartanah

21 Jun 2023

KUALA LUMPUR: Inisiatif Pemilikan Rumah Malaysia (i-Miliki) adalah inisiatif yang amat diperlukan untuk merangsang industri hartanah dan memudahkan pemilikan rumah bagi pembeli kali pertama.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA), Datuk NK Tong, berkata, terdapat rakyat B40 dan M40 yang terjejas oleh ekonomi yang semakin pulih.

"Kerajaan Perpaduan terus menunjukkan pendekatan yang bertanggungjawab secara fiskal untuk membantu rakyat Malaysia selaras dengan Belanjawan 2023 yang diumumkan sebelum ini, dan menjadi satu lagi bentuk subsidi bersasar untuk membantu rakyat yang layak.

"Digabungkan dengan pengecualian duti setem surat cara pindah milik antara ibu bapa dan anak serta datuk dan cucu yang diwartakan pada hari sama, kami percaya ini akan membantu kerajaan memenuhi agenda pemilikan rumah," katanya dalam satu kenyataan.

Kementerian Kewangan (MOF) baru-baru ini mengumumkan bahawa pemilikan rumah pertama menerusi i-Miliki akan terus menikmati pengecualian duti setem 100 peratus bagi pembelian rumah berharga tidak melebihi RM500,000.

Menurut MOF, selain itu pengecualian duti setem 75 peratus turut diberikan bagi pembelian rumah pertama yang berharga melebihi RM500,000 sehingga RM1 juta di bawah inisiatif yang sama.Layanan duti setem ini terpakai bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan dari 1 Jun 2022 sehingga 31 Disember 2023.

Pengecualian duti setem ini diadakan di bawah Program Pemilikan Rumah (HOPE), di mana pemilikan rumah pertama menerusi I-Miliki akan diberi pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman.

Mengulas lanjut, Tong berkata beliau turut mengetengahkan kenyataan Menteri Kemajuan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming bahawa Malaysia mencatatkan 76.9 peratus pemilikan rumah, yang mana adalah antara yang tertinggi di dunia.

"Ini adalah satu pencapaian yang hebat dan pengecualian duti setem untuk pembeli rumah kali pertama akan terus menggalakkan peratusan yang lebih tinggi.

"REHDA berpendapat bahawa langkah sedemikian harus terbuka kepada semua rakyat Malaysia, dan tidak terhad kepada pemilik rumah kali pertama," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2023/06/1113432/inisiatif-i-miliki-tingkat-pemilikan-hartanah

 


>> Back to News


Print