shopify analytics ecommerce
tracking

Permohonan pinjaman hartanah merosot pada April

26 Jun 2023

KUALA LUMPUR: Permohonan pinjaman bagi pembelian hartanah pada bulan April 2023 menurun sebanyak 23 peratus berbanding bulan sebelumnya, demikian mengikut MIDF Research.

Menurut firma penyelidikan itu dalam notanya baru-baru ini, permohonan pinjaman melonjak kepada paras tertinggi dalam tempoh lebih dua tahun pada Mac 2023 disebabkan pemulihan dalam minat belian berikutan penangguhan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) pada Januari dan Mac."Bagi asas tahunan, permohonan pinjaman bagi April merosot sebanyak 11.4 peratus tahun ke tahun (yoy) selepas mencatat dua kali peningkatan berturut-turut pada Februari dan Mac 2023.

"Memandang ke hadapan, kami berpendapat bahawa permohonan pinjaman mungkin kekal lemah berikutan langkah Bank Negara Malaysia meningkatkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus pada 3 Mei 2023 yang mungkin mengurangkan minat belian ke atas hartanah," katanya.

Mengulas lanjut MIDF Research berkata, jumlah pinjaman yang diluluskan untuk pembelian hartanah turut menurun sebanyak 17.8 peratus pada April 2023 berbanding bulan sebelumnya, sejajar dengan permohonan pinjaman yang lebih rendah pada April 2023."Penurunan ini sebahagiannya dapat ditampung oleh permohonan pinjaman yang lebih tinggi dan peratusan jumlah kelulusan pinjaman yang lebih tinggi daripada jumlah pinjaman yang dipohon sebanyak 46.4 peratus pada April 2023 (Mac 2023: 43.5 peratus).

"Bagi asas tahunan, pinjaman yang diluluskan susut sebanyak 5.1 peratus yoy pada April 2023 selepas peningkatan sebanyak 19 peratus pada Mac 2023. Secara kumulatif, jumlah pinjaman yang diluluskan pada empat bulan pertama 2023 (4M2023) adalah lebih tinggi sebanyak 6.3 peratus yang memberi petanda baik terhadap prospek jualan baharu untuk hartanah pemaju.

"Namun begitu, momentum jualan baharu mungkin menjadi semakin lemah melangkah ke hadapan kerana permohonan pinjaman dijangka lebih lemah berikutan kenaikan OPR pada Mei 2023," katanya.Dalam pada itu firma penyelidikan itu berkata, menurut data yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), kediaman tidak terjual di Malaysia kekal dalam aliran menurun pada suku pertama 2023 (S123).

"Kediaman tidak terjual terus menurun kepada 26,872 unit pada S123 selepas jatuh kepada 27,746 unit pada 2022 daripada 36,863 unit pada 2021."Selangor mempunyai unit kediaman tidak terjual tertinggi sebanyak 4,995 unit, diikuti Johor (4,759 unit) dan Kuala Lumpur (3,423 unit). Penurunan berterusan dalam kediaman tidak terjual boleh dikaitkan dengan minat belian yang lebih tinggi ke atas hartanah berikutan pembukaan semula sempadan ekonomi dan negara.

"Kami melihat bahawa kediaman tidak terjual yang bertambah baik dalam S123 menjadi positif kepada sektor hartanah kerana ia menandakan kebimbangan yang semakin mereda dalam situasi lebihan bekalan hartanah kediaman di Malaysia," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2023/06/1118832/permohonan-pinjaman-hartanah-merosot-pada-april

 


>> Back to News


Print