shopify analytics ecommerce
tracking

Rumah bawah RM300,000 jadi tumpuan pembeli

28 Jun 2023

KUALA LUMPUR: Trend penurunan jumlah rumah siap tidak terjual di Malaysia mencerminkan perkembangan yang amat positif bagi pasaran hartanah, dengan pengurangan paling ketara adalah dalam kategori hartanah bernilai RM300,000 ke bawah.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari, berkata jumlah rumah siap tidak terjual yang lebih kecil bermakna semakin ramai keluarga yang mencari kediaman dan perkembangan ini akan membantu menstabilkan harga serta bekalan.

"Pasaran kediaman adalah sektor yang paling mantap, dan prestasi baik sektor itu menyumbang kepada penurunan hartanah siap tidak terjual di beberapa negeri yang menunjukkan keadaan terburuk sebelum ini," katanya menerusi satu kenyataan.Juwai IQI hari ini menerbitkan tinjauan pasaran kediaman separuh kedua 2023 bagi Malaysia.

Kashif berkata, Johor mencatatkan penurunan sebanyak 14 peratus rumah siap tidak terjual berbanding dengan paras pada 2021."Rumah siap tidak terjual berkurangan sebanyak 39 peratus di Selangor, 35 peratus di Pulau Pinang dan 12 peratus di Kuala Lumpur," katanya.

Berhubung harga kediaman, beliau berkata Indeks Harga Rumah Malaysia meningkat sederhana dua peratus pada suku pertama tahun ini, kadar pertumbuhan yang tidak jauh daripada paras semasa prapandemik.

"Harga purata rumah berkembar ialah RM669,402. Kategori paling mahal berikutnya ialah rumah teres dengan harga purata RM418,592. Harga purata hartanah bertingkat pula ialah RM342,506," katanya.

Beliau berkata aktiviti pasaran hartanah pada suku pertama tahun ini adalah lebih rancak apabila nilai dan jumlah urus niaga masing-masing mencatatkan peningkatan.

Katanya, pada Mac nilai agregat urus niaga hartanah melonjak 40 peratus berbanding dengan Februari, mencecah RM18.2 bilion yang juga paras tertinggi dalam tempoh 12 bulan."Jumlah urus niaga turut melonjak kepada 33,233 pada Mac, tertinggi sejak September dan paras keempat tertinggi dalam tempoh 12 bulan lalu," katanya.

Kashif berkata, terdapat beberapa petunjuk kukuh bahawa industri yakin terhadap pasaran hartanah kediaman.Katanya, beberapa projek perumahan mula bertambah pada suku pertama, yang bermakna bank dan pemaju melabur untuk membina rumah-rumah baharu, mencerminkan kepercayaan terhadap tinjauan pasaran.

"Projek perumahan meningkat 31 peratus pada Mac berbanding bulan terdahulu. Purata tiga bulan yang merosot bulan demi bulan pada suku keempat 2022, bertukar positif pada Mac dengan kenaikan sebanyak sembilan peratus," katanya.

Merumuskan sektor hartanah secara keseluruhan, beliau berkata Juwai IQI mempercayai bahawa pertumbuhan ekonomi yang stabil, penurunan inflasi dan kewangan isi rumah yang kukuh akan menyokong pasaran kediaman untuk baki tahun ini.

."Kami menjangkakan pasaran hartanah kediaman akan terus meningkat tahun ini kerana terdapat pelbagai keadaan yang memberikan sokongan di sebalik pertumbuhan ekonomi yang secara sederhana lebih rendah."Kami mengunjurkan pertumbuhan harga rumah antara 1.5 hingga 4.0 peratus pada separuh kedua tahun ini berbanding setahun lalu," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2023/06/1119568/rumah-bawah-rm300000-jadi-tumpuan-pembeli

 


>> Back to News


Print