shopify analytics ecommerce
tracking

Kenaikan yuran guaman babit pindah hakmilik tak sesuai ketika ini

20 Jul 2023

KUALA LUMPUR: Kenaikan yuran guaman membabitkan pemindahan hakmilik adalah tidak sesuai terutama ketika rakyat sedang bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berkata keputusan yang diambil oleh Jawatankuasa Kos Peguam Cara di bawah Perintah Saraan Peguam Cara (Pindaan) 2023 [P.U. (A) 207/2023] yang berkuatkuasa Sabtu lalu itu juga membimbangkan.

Katanya, penetapan yuran guaman itu dilihat tidak konsisten terutamanya apabila mengambil kira yuran litigasi di Malaysia tidak tertakluk kepada kadar tetap.

"Tindakan yang diambil oleh Majlis Peguam adalah bertentangan dengan usaha kerajaan dalam membantu rakyat untuk mampu memiliki rumah mereka sendiri.

"Inisiatif kerajaan melalui Memorandum Pemindahan (MOT) dan pelepasan atau diskaun cukai setem, pelepasan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) dan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), dilaksanakan untuk menggalakkan industri perumahan.

"Ia juga bertujuan untuk mengurangkan impak kenaikan kos sara hidup kumpulan-kumpulan yang disasarkan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

MyCC dalam kenyataannya itu juga berkata pihaknya ingin mewujudkan struktur yuran yang lebih fleksibel bertepatan dengan amalan terbaik antarabangsa.

Katanya, MyCC juga percaya pengguna akan dilindungi dengan lebih baik apabila variasi terhadap dasar industri mengambil kira prinsip persaingan

"Kami mengakui usaha kami sebelum ini untuk memujuk Majlis Peguam tidak berjaya.

"Namun begitu, kami ingin menyeru Majlis Peguam dengan penuh hormat untuk mempertimbangkan semula atau sekurang-kurangnya, menangguhkan pelaksanaan perintah pindaan ini dan meneruskan balik perbincangan dengan kami.

"Majlis Peguam mempunyai potensi yang tidak dapat disangkal lagi dalam memberikan contoh positif bagi mempromosikan persaingan dalam pasaran," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/07/1127752/kenaikan-yuran-guaman-babit-pindah-hakmilik-tak-sesuai-ketika-ini

 


>> Back to News


Print