shopify analytics ecommerce
tracking

Pembelian hartanah antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi

03 Aug 2023

KUALA LUMPUR: Pembelian hartanah menjadi antara kunci utama kepada pertumbuhan ekonomi, dengan pembeli rumah Malaysia menyumbang kira-kira RM42.5 bilion kepada ekonomi tahun lalu, demikian kata Juwai IQI.

Angka berkenaan bersamaan kira-kira 2.7 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2022 Malaysia sebanyak RM1.79 trilion.Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Juwai IQI, Kashif Ansari, berkata hakikatnya, pembelian rumah merangsang ekonomi dan ia bermakna dasar kerajaan yang menyokong pembeli rumah mempunyai manfaat yang jauh lebih besar untuk pertumbuhan ekonomi.

Beliau berkata, hartanah kekal sebagai cara terbaik untuk rakyat Malaysia membina kekayaan dan memperoleh keselamatan ekonomi, tetapi ia juga baik untuk ekonomi."Wang yang kita belanjakan untuk yuran, duti dan perbelanjaan apabila membeli rumah juga merangsang penggunaan dan pengeluaran dalam segala-galanya daripada pembuatan sehingga pengangkutan.

"Manfaat ekonomi RM42.5 bilion hanya sebahagian daripada keseluruhan impak penuh keseluruhan sektor perumahan kerana ia tidak termasuk puluhan bilion ringgit yang dihasilkan oleh pengeluaran bahan mentah, pengurusan hartanah, hartanah sewaan, penyelenggaraan dan ubah suai serta aktiviti hartanah lain yang menambah kepada ekonomi. Ia juga tidak termasuk nilai hartanah itu sendiri," katanya dalam satu kenyataan.

Kashif berkata, pihaknya juga melihat kesan keluaran dalam negara kasar (KDNK) ke atas empat negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.Beliau berkata, di Selangor, faedah pembelian rumah menambah 3.1 peratus kepada KDNK, yang terbesar di mana-mana negeri.Katanya, faedah pembelian rumah menyumbang paling sedikit kepada KDNK di Kuala Lumpur, yang menambah 1.7 peratus kepada KDNK.

"Di Johor dan Pulau Pinang, manfaat KDNK secara relatifnya tinggi, iaitu masing-masing 2.9 peratus dan 3.0 peratus," katanya.Kashif berkata, secara purata, setiap kali membeli rumah, pembeli rumah menjana faedah purata untuk ekonomi sekitar RM175,000, tetapi jumlahnya berbeza mengikut negeri.Beliau berkata, di Johor, setiap transaksi menambah kira-kira RM150,000 kepada ekonomi."Faedahnya kira-kira RM294,000 di Kuala Lumpur, kira-kira RM201,000 di Selangor dan kira-kira RM174,000 di Pulau Pinang," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2023/08/1134886/pembelian-hartanah-antara-pemacu-utama-pertumbuhan-ekonomi

 


>> Back to News


Print