Rumah RM500,000 ke RM1 juta paling banyak tak terjual
15 Sep 2023KAJANG: Hartanah berharga RM500,000 hingga RM1 juta menjadi kediaman siap dibina yang tidak terjual paling tinggi pada separuh pertama 2023.Berdasarkan laporan Pasaran Hartanah Separuh Pertama 2023 oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), kediaman dalam lingkungan harta itu merekodkan sebanyak 32.5 peratus rumah siap tidak terjual, manakala kediaman berharga bawah RM300,000 (26.8 peratus); RM300,000 hingga RM500,000 (25.4 peratus) dan RM1 juta ke atas sebanyak 15.4 peratus.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata walaupun kediaman siap dibina tidak terjual masih banyak, tetapi secara keseluruhannya ia adalah rendah berbanding separuh kedua 2022.Beliau berkata, kediaman siap dibina tidak terjual atau lebih dikenali sebagai 'overhang' merekodkan sebanyak 26,000 unit bernilai RM18.3 bilion.
Katanya, situasi itu bertambah baik dengan penurunan bilangan dan nilai setiap satu pada 5.3 peratus dan 0.6 peratus berbanding separuh kedua 2022."Situasi 'overhang' ini sentiasa berlaku setiap tahun dan saya percaya apabila pasaran bertambah stabil, 'overhang' akan dapat dikurangkan."Namun, saya akan bawa laporan NAPIC yang juga agensi Kementerian Kewangan ini kepada pasukan Belanjawan 2024 yang akan mula menyiapkan perancangan akhir minggu ini.
"Kita akan lihat dan kaji mengenai isu 'overhang' dan juga kediaman untuk dibawa ke dalam Belanjawan 2024 demi kesejahteraan rakyat," katanya selepas melancarkan Pasaran Hartanah Separuh Pertama 2023 NAPIC di sini, hari ini.Hampir 58 peratus daripada kediaman siap tidak terjual adalah hartanah kondominium/pangsapuri.
Johor kekal dengan bilangan kediaman siap tidak terjual tertinggi dalam negara dengan 4,717 unit diikuti Selangor dengan 4,307 unit dengan kedua negeri itu masing-masing merekodkan nilai kediaman siap tidak terjual lebih RM4 bilion.
Situasi kediaman siap tidak terjual jenis pangsapuri khidmat juga bertambah baik dengan hanya terdapat lebih 22,000 unit bernilai RM19.13 bilion pada separuh pertama 2023, penurunan 6.2 peratus berbanding separuh kedua 2022.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, walaupun keadan kewangan dan ekonomi global mencabar pada enam bulan pertama tahun ini, namun pasaran hartanah negara masih teguh.Beliau berkata, dalam tempoh dikaji lebih daripada 184,000 transaksi bernilai RM85.37 bilion telah direkodkan yang walaupun sedikit turun dari segi bilangan sebanyak 2.1 peratus, tetapi jumlah nilai transaksi meningkat 1.1 peratus berbanding tempoh yang sama 2022.
Katanya, subsektor kediaman terus memacu pasaran dengan menguasai lebih 60 peratus daripada bilangan keseluruhan transaksi dan hampir 53 peratus daripada keseluruhan nilai transaksi."Bergerak ke hadapan, pasaran hartanah akan terus kukuh dan meningkat disebabkan kestabilan politik dan juga dasar-dasar kerajaan yang lebih jelas dalam Ekonomi MADANI," katanya.
https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2023/09/1152664/rumah-rm500000-ke-rm1-juta-paling-banyak-tak-terjual
>> Back to News