shopify analytics ecommerce
tracking

Belanjawan 2024: Tumpu kecilkan jurang pendapatan, harga rumah

21 Sep 2023

KUALA LUMPUR: Tumpuan terhadap usaha meningkatkan pertumbuhan pendapatan perlu diberi perhatian bagi menangani isu harga hartanah tidak mampu milik di negara ini, demikian pandangan seorang pakar pasaran. 

Pengurus Negara, Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my), Sheldon Fernandez, berkata penekanan terhadap pertumbuhan pendapatan penting memandangkan jurang yang semakin melebar antara paras pendapatan dan harga hartanah. 

Beliau berkata, jurang yang melebar itu menyebabkan harga hartanah di negara ini menjadi sangat tidak mampu milik terutama bagi golongan berpendapatan rendah, justeru kerjasama semua pihak diperlukan untuk menangani isu sedemikian. 

"Kami mengharapkan beberapa berita baik daripada dasar gaji progresif yang akan dibentangkan dalam Belanjawan 2024, kerana ia mungkin menjadi sokongan yang diperlukan rakyat Malaysia untuk mendekatkan mereka kepada impian memiliki rumah. 

"Inisiatif berkaitan harga hartanah perlu diberi tumpuan dalam pertumbuhan pendapatan. Ini akan membantu pasaran hartanah dan sektor perumahan," katanya pada sidang media mengumumkan hasil Kaji Selidik Sentimen Pengguna Separuh Kedua 2023 di sini, hari ini. 

Sheldon berkata, bagi membantu pengguna mengatasi halangan pemilikan rumah semasa, bantuan kerajaan yang pantas dan disasarkan adalah penting untuk menangani cabaran ini dengan tepat dalam jangka masa panjang. 

Beliau berkata, dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang dikekalkan pada 3.0 peratus dan penurunan inflasi sehingga dua peratus, ia peluang yang baik untuk kerajaan menjalankan semula kajian menyeluruh terhadap skim dan inisiatif perumahan semasa dan yang sedang dalam cadangan.

"Ini akan membantu mendorong mereka yang berhasrat untuk membeli untuk mengambil langkah pertama ke arah pemilikan rumah. 

"Kami amat menantikan pengumuman Belanjawan 2024 untuk melihat apakah yang akan disediakan bagi membantu impian bakal pembeli rumah ini," katanya.Hasil Kaji Selidik Sentimen Pengguna Separuh Kedua 2023 PropertyGuru Malaysia mendedahkan lebih separuh atau 56 peratus daripada responden Malaysia yang ditinjau berminat untuk memasuki pasaran hartanah dalam tempoh setahun akan datang. 

Sheldon berkata, walaupun peningkatan harga hartanah dan cabaran ekonomi berterusan, hasrat membeli rumah kekal bagi bakal pembeli jika dibandingkan dengan laporan sebelumnya iaitu 55 peratus.

Beliau berkata, walaupun niat untuk membeli adalah kuat dalam kalangan rakyat Malaysia, tinjauan sentimen pengguna itu juga menunjukkan bahawa pengguna tetap berhati-hati dalam menghadapi pelbagai halangan untuk memiliki rumah.Katanya, halangan yang paling ketara adalah ketidakmampuan pemilikan perumahan, dengan 87 peratus responden masih menganggap harga hartanah sebagai halangan terbesar terhadap hasrat pembelian mereka. 

"Halangan pembelian lain termasuk kenaikan kadar faedah, kebimbangan mengenai kemelesetan ekonomi, ketidakupayaan untuk mendapatkan pinjaman rumah daripada bank, kesukaran pembayaran deposit, dan ketidakstabilan politik," katanya.Sebagai tindak balas terhadap peningkatan OPR dan kos pinjaman yang lebih tinggi, 35 peratus daripada responden menyatakan bahawa mereka mencari hartanah yang lebih murah. 

Ia menunjukkan terdapat bakal pembeli rumah yang sedia untuk mengubah harapan mereka sewajarnya dan mempertimbangkan pilihan yang sejajar dengan kemampuan kewangan mereka.

Hasil kaji selidik itu juga menunjukkan bahawa responden bersetuju untuk berkompromi bagi kemudahan tertentu sebagai pertukaran untuk rumah yang lebih mampu milik bagi memenuhi impian menjadi pemilik rumah. 

Responden, terutamanya individu yang lebih tua dan penyewa, sanggup melepaskan kemudahan tertentu seperti gimnasium (49 peratus), taman permainan (46 peratus), trek joging/ruang rekreasi (45 peratus) dan balkoni (43 peratus) jika ia memberikan harga yang lebih rendah.Sebaliknya, tempat letak kereta, dapur yang berfungsi dan bilik mandi kedua lebih digemari oleh responden.

Anjakan itu menunjukkan perubahan dalam keutamaan pengguna di mana kemudahan praktikal dan penjimatan kos diutamakan apabila memilih rumah. 

Selain daripada keutamaan mereka terhadap kemudahan praktikal, lebih ramai rakyat Malaysia sedar mengenai kelestarian dan perubahan iklim, kerana kajian itu juga menunjukkan bahawa kehidupan mampan semakin popular dalam kalangan bakal pembeli rumah. 

Satu daripada empat (26 peratus) responden sanggup membayar lebih untuk rumah berteknologi hijau, dan lebih separuh daripada responden (58 peratus), khususnya golongan dewasa berumur antara 22 dan 29 tahun, juga percaya bahawa rumah berteknologi hijau boleh membantu menjimatkan kos utiliti dan penyelenggaraan dalam jangka masa panjang.Kaji selidik sentimen pengguna itu juga menunjukkan 50 peratus daripada mereka yang ditinjau, terutamanya demografi yang lebih muda dan berpendapatan rendah, sangat bergantung pada sokongan kerajaan untuk membeli rumah.Selain itu, 46 peratus daripada responden telah menyatakan cabaran berterusan dalam mendapatkan pembiayaan untuk skim perumahan mampu milik ini. 

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2023/09/1155036/belanjawan-2024-tumpu-kecilkan-jurang-pendapatan-harga-rumah

 


>> Back to News


Print