shopify analytics ecommerce
tracking

KPKT umum peruntukan RM308 juta bina 1,200 PPR di Perak

27 Sep 2023

IPOH: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini mengumumkan peruntukan RM308 juta bagi pembinaan tiga Projek Perumahan Rakyat (PPR) baharu di tiga kawasan Parlimen di Perak.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata tiga lokasi sudah dikenal pasti di kawasan Parlimen Tambun, Lenggong dan Teuk Intan dengan pembinaan ketiga-tiganya dijangka memberi manfaat kepada 6,000 isi rumah di Perak membabitkan pembinaan 1,200 unit PPR. 

Beliau berkata, PPR di Tambun akan dibangunkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi atas tanah kerajaan negeri yang menyasarkan sebanyak 500 unit rumah bertingkat dengan kemudahan lif membabitkan anggaran kos RM140 juta.

"PPR di Lenggong akan dibina dalam DUN Kota Tampan dengan 300 unit rumah jenis teres di atas tapak pemberian kerajaan Perak dengan anggaran kos RM72 juta.

"PPR Teluk Intan di DUN Changkat Jong pula membabitkan pembinaan 400 unit rumah teres di atas tanah milik Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dengan anggaran kos RM96 juta," katanya. 

Bagi PPR Tambun, Kor Ming berkata, kementerian itu sedang mendapatkan pertimbangan dan kelulusan khas Kementerian Ekonomi. Bagi PPR Lenggong atau nama asalnya PPR Perak yang sudah diluluskan dalam Rolling Pelan Ketiga (RP3) Tahun 2023, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). 

"Ia akan dilaksana secepat mungkin dengan permohonan mengenainya sedang dalam pertimbangan Notis Perubahan (NOC) oleh Kementerian Ekonomi."Bagi PPR Teluk Intan, permohonan mengenainya sudah dikemukakan dan sedang dalam pertimbangan NOC oleh Kementerian Ekonomi," katanya dalam sidang media sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini, hari ini. 

Hadir sama dalam sidang media itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.Katanya lagi, pembangunan tiga projek PPR itu adalah bagi menjayakan sasaran Kerajaan Persekutuan untuk pembinaan 500,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM) di bawah RMK-12 sekali gus memberi manfaat kepada rakyat. 

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/09/1157076/kpkt-umum-peruntukan-rm308-juta-bina-1200-ppr-di-perak

 


>> Back to News


Print