shopify analytics ecommerce
tracking

Belanjawan 2024: Bantu lebih ramai keluarga miliki rumah

05 Oct 2023

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2024 diharap akan membantu lebih ramai keluarga mendapatkan rumah mampu milik, demikian menurut Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari.

Beliau berkata, Belanjawan 2024 perlu memasukkan langkah-langkah untuk membantu rakyat dan mengukuhkan kelas pertengahan, terutamanya dengan tumpuan terhadap kemampuan untuk memiliki rumah. 

"Kerajaan sekarang dan sebelum ini telah menunjukkan komitmen untuk membantu rakyat daripada semua tahap pendapatan memiliki rumah sendiri. Industri hartanah berharap Belanjawan 2024 akan mengandungi komitmen baharu supaya lebih ramai rakyat Malaysia boleh merealisasikan impian mereka," katanya dalam satu kenyataan. 

Kashif menjelaskan, bagi mempunyai kewangan yang stabil, keluarga memerlukan empat perkara iaitu pendapatan, perbelanjaan yang rendah, keupayaan untuk menyimpan dan keselamatan di dalam rumah, justeru pemilikan rumah mampu milik membantu mencapai tiga daripada empat matlamat berkenaan.

Katanya, ia mengurang dan menstabilkan perbelanjaan bulanan, memberikan peluang untuk mengumpul simpanan dan menjamin ada tempat untuk berlindung. 

"Belanjawan 2024 sepatutnya mengandungi langkah-langkah untuk membantu lebih banyak keluarga mendapatkan rumah mampu milik. Pertama, pastikan keluarga ada lebihan wang dengan mengurangkan cukai ke atas isi rumah berpendapatan sederhana. Dengan lebih banyak pendapatan boleh diguna, keluarga mampu untuk memiliki rumah sendiri. 

"Kerajaan juga boleh mengambil pendekatan lebih bersasar. Ia boleh menyediakan geran kepada pembeli rumah, memberikan subsidi untuk kadar faedah lebih rendah untuk kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana, selain mengurangkan duti setem dan cukai yang perlu dibayar pengguna apabila mendapatkan pinjaman gadai janji," katanya. 

Beliau berkata, satu program berjaya yang boleh dilaksanakan semula adalah Kempen Pemilikan Rumah (HOC), dengan kali terakhir ia dijalankan telah membantu keluarga menjimatkan RM15.8 bilion yang sepatutnya dibayar apabila membeli 117,538 rumah. 

Katanya, jualan keseluruhan HOC mencecah RM92.5 bilion setakat Julai 2022 dan ia terbukti satu kejayaan apabila membantu lebih 100,000 keluarga dalam landasan ke arah bebas kewangan.

"Langkah terakhir yang boleh diambil Belanjawan 2024 adalah mengurangkan kos pembinaan baharu. Data BCISM (Perkhidmatan Maklumat Kos Binaan Malaysia) menunjukkan bahawa kos simen Portland adalah 50 peratus lebih tinggi pada September berbanding setahun lalu, manakala kos konkrit siap bancuh meningkat 23 peratus dan kos pasir melonjak 18 peratus. 

"Apabila harga bahan yang penting bagi setiap bajet pembinaan meningkat dengan pantas, ia menyebabkan harga rumah baharu lebih mahal. Apabila harga simen dan besi meningkat, rumah menjadi kurang mampu dimiliki. 

"Kerajaan mempunyai alat untuk mengurangkan semua kos input ini. Banyak bahan sama ada diimport atau bergantung kepada bahan dan komponen yang diimport. Dengan mengurangkan levi import, Belanjawan 2024 boleh menjadikan rumah lebih mampu dimiliki," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2023/10/1160522/belanjawan-2024-bantu-lebih-ramai-keluarga-miliki-rumah

 


>> Back to News


Print