shopify analytics ecommerce
tracking

Rumah di pusat bandar kembali jadi pilihan pembeli

22 Dec 2023

KUALA LUMPUR: Data carian 2023 oleh laman web iProperty.com.my menunjukkan peralihan keutamaan kembali ke kawasan bandar berbanding 2022, apabila bakal pembeli rumah mempertimbangkan kawasan terpilih di luar Lembah Klang disebabkan fleksibiliti kerja. 

Perubahan itu boleh dikaitkan dengan dasar kembali ke pejabat yang dilaksanakan oleh lebih banyak majikan, demikian menurut laman web carian hartanah itu.Pusat bandar raya Kuala Lumpur (KLCC), Subang Jaya dan Cyberjaya kembali semula berada dalam senarai 10 kawasan dengan carian tertinggi oleh pembeli rumah di Malaysia pada 2023. 

Bangsar dan Bukit Jalil pula menjadi kawasan baharu berada dalam senarai itu, manakala Petaling Jaya, Mont Kiara, Johor Bahru, Cheras dan Puchong terus menjadi kawasan yang paling popular dicari berdasarkan bilangan carian tertinggi oleh pelawat yang melayari hartanah untuk dijual di iProperty.com.my antara Januari dan November 2023. 

Pengurus Negara, PropertyGuru Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my), Sheldon Fernandez, berkata berdasarkan data carian 2023, pihaknya dapati terdapat perubahan ketara dalam pilihan pembeli rumah.Beliau berkata, memandangkan lebih banyak majikan melaksanakan aturan kembali ke pejabat, terdapat peningkatan semula dalam tarikan kehidupan bandar. 

Katanya, hartanah bandar menawarkan beberapa kelebihan kepada mereka yang bekerja di pejabat seperti ketersambungan yang sangat baik dan akses mudah ke tempat kerja menggunakan pengangkutan awam, memberikan masa perjalanan yang lebih singkat."Kawasan bandar juga sering menjadi pusat aktiviti, menawarkan pelbagai kemudahan seperti pusat membeli-belah, restoran dan kemudahan rekreasi. Disebabkan itu, kawasan itu dapat menarik mereka yang mencari gaya hidup dinamik di luar waktu kerja. 

"Gabungan faktor-faktor ini menjadikan kehidupan bandar sangat sesuai untuk golongan profesional yang bekerja di pejabat. Trend ini menekankan daya tahan dan kebolehsuaian pasaran hartanah," katanya dalam satu kenyataan.Sheldon berkata, seiring dengan pasaran hartanah yang terus berkembang, pemaju menyesuaikan strategi mereka untuk memenuhi pilihan pembeli rumah yang berubah-ubah.

Beliau berkata, pembangunan bercampur yang menggabungkan aspek kediaman, komersial dan rekreasi kini dalam perancangan oleh beberapa pemaju. 

Katanya, pembangunan itu berpotensi untuk mengubah daerah pusat perniagaan (CBD) daripada tertumpu kepada pejabat semata-mata kepada hab yang pelbagai fungsi di mana penduduk boleh tinggal, bekerja dan bermain."Berteraskan integrasi ruang yang pelbagai, daerah ini boleh berkembang menjadi ekosistem serba lengkap yang memenuhi semua aspek kehidupan. Kami tidak sabar untuk melihat bagaimana trend ini terus berinovasi pada masa hadapan," katanya. 

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2023/12/1190719/rumah-di-pusat-bandar-kembali-jadi-pilihan-pembeli

 


>> Back to News


Print