shopify analytics ecommerce
tracking

Rumah harga lebih RM500,000 kurang dapat sambutan

16 Jan 2024

KUALA LUMPUR: Rakyat di negara ini dilihat kurang memberikan sambutan terhadap projek hartanah kediaman yang dijual pada harga lebih RM500,000.Penganalisis Kenanga Research, Clement Chua, berkata ia berdasarkan perangkaan bahawa 57 peratus daripada hartanah kediaman yang baru dilancarkan pada suku ketiga 2023 adalah berharga di bawah RM500,000, seperti yang dilaporkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).

Dalam pada itu, katanya terdapat pengurangan sebanyak 31 peratus bagi unit kediaman yang berharga antara RM500,000 hingga RM1 juta pada suku ketiga 2023 berbanding suku sama tahun lalu."Ini menandakan minat yang semakin meningkat terhadap rumah mampu milik manakala untuk produk yang berharga lebih RM500,000 mungkin diketepikan oleh pasaran massa," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

Chua berkata, bagi menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran, pemaju akan terus menawarkan campuran produk tetapi dengan penekanan yang lebih tinggi kepada rumah mampu milik untuk memenuhi keperluan pembeli rumah kali pertama, didorong oleh pertumbuhan penduduk dan urbanisasi.

"Dengan semakin meluasnya rangkaian infrastruktur awam di Lembah Klang, pembangunan berorientasikan transit (TOD) boleh menjadi pilihan pilihan kepada bakal pembeli untuk mengurangkan beban mereka berulang-alik ke tempat kerja," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Kenanga Research kekal neutral terhadap prospek sektor hartanah yang terus dibebani oleh isu lebihan bekalan, hutang isi rumah yang tinggi, kadar faedah yang tinggi dan sentimen pengguna yang lemah disebabkan oleh inflasi yang tinggi dan kenaikan kos sara hidup.

"Ia turut ditambah dengan faktor yang tidak membantu iaitu penyasaran subsidi bahan api yang mungkin menafikan akses bahan api bersubsidi kepada sebahagian daripada kumpulan M40, sekali gus menghakis kuasa membeli mereka, terutamanya untuk barangan bernilai tinggi seperti hartanah.

"Sementara itu, kadar kelulusan pinjaman industri perbankan untuk hartanah berdasarkan data Bank Negara Malaysia (BNM) bagi bulan Oktober 2023 baru-baru ini mencapai 43.9 peratus, bertambah baik sedikit daripada Disember 2022 iaitu 43.5 peratus."Kami berpendapat bahawa kadar kelulusan untuk pertengahan 40 peratus mungkin berterusan dalam tempoh terdekat, dengan bank-bank mungkin terus berhemat dalam dasar penilaian kredit masing-masing.

"Oleh yang demikian, ada kemungkinan peningkatan yang lebih tinggi boleh berlaku dirangsang oleh peningkatan kadar rumah mampu milik di pasaran kerana halangan kemasukan mungkin lebih rendah.

"Buat masa ini, kami tidak menjangkakan bacaan ini akan melepasi 50 peratus yang kali terakhir dilihat semasa kitaran menaik industri antara 2011 dan 2014 memandangkan kebimbangan ekonomi yang lebih meluas mungkin masih timbul (iaitu kemelesetan)," katanya.Mengikut laporan terkini NAPIC, unit kediaman siap tidak terjual berkurangan daripada 142,475 unit pada 2022 kepada 126,942 unit setakat suku ketiga 2023, namun jumlahnya masih ketara di Kuala Lumpur, Johor dan Selangor.

"Walaupun ini menunjukkan pembelian menggalakkan unit-unit yang sebelum ini tidak terjual, kami melihat bahawa jumlah pelancaran kediaman baharu juga berkurangan iaitu hanya 6,881 unit pada suku ketiga 2023 berbanding 8,226 unit pada suku sama 2022 kerana pemaju mengambil pendekatan lebih berpilih terhadap pelancaran baharu," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2024/01/1199370/rumah-harga-lebih-rm500000-kurang-dapat-sambutan


>> Back to News


Print