shopify analytics ecommerce
tracking

Bandar PR1MA pertama akan dibina di Teluk Intan

22 Jan 2024

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melancarkan Bandar PR1MA pertama di Malaysia yang terletak berdekatan tapak pembinaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Teluk Intan, Perak.

Perencanaan pelancaran itu dipersembahkan Menteri KPKT, Nga Kor Ming kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Hinggap Perak, semalam.

Dalam satu kenyataan, Kor Ming berkata, Bandar PR1MA itu akan menawarkan lebih 1,000 unit kediaman mampu milik berkualiti tinggi serta perancangan bandar yang mampan, lestari dan selesa.

"Projek berkenaan akan dibangunkan di atas tanah seluas 57.5 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan berjumlah RM800 juta," katanya.

Beliau juga menyatakan komitmen untuk terus memaju pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) yang berkualiti tinggi serta model baru Program Perumahan Rakyat (PPR) yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Kor Ming turut mempersembahkan beberapa siri kejayaan KPKT dalam melaksanakan pembinaan prasarana awam termasuk pasar awam baru, inisiatif tandas awam bertaraf 'BMW' dan inisiatif MyKiosk Niaga yang menggunakan amalan teknologi hijau.

Antara lain turut dipersembahkan kepada Sultan Perak ialah pemerkasaan aplikasi PBTPay, penambahbaikan Garis Panduan OSC 3.0 plus serta pelaksanaan inovasi Audio Frequency Intercept System (AFIS) dari pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang telah menerima anuegrah utama bagi Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AIPSA) tahun lalu.

"KPKT juga akan meneruskan komitmen pada tahun ini dalam menyampaikan perkhidmatan berkualiti kepada seluruh rakyat negara ini sebagai satu usaha untuk merealisasikan perancangan pembangunan demi meningkatkan kesejahteraan rakyat," kata kenyataan itu.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2024/01/1202212/bandar-pr1ma-pertama-akan-dibina-di-teluk-intan


>> Back to News


Print