shopify analytics ecommerce
tracking

Permintaan rumah tidak terkesan kenaikan cukai perkhidmatan

02 Feb 2024

KUALA LUMPUR: Kenaikan cukai perkhidmatan kepada lapan peratus bermula Mac ini tidak akan memberi kesan ketara kepada permintaan pasaran hartanah kediaman di Malaysia.Ads by

Pengarah Penyelidikan Rahim & Co International Sdn Bhd, Sulaiman Saheh, berkata perubahan kadar cukai itu hanya akan menyebabkan reaksi spontan dalam pasaran atau perubahan jangka pendek.

Namun, katanya selepas pasaran sudah dapat membiasakan diri dengan kenaikan itu, ia akan kembali menjadi normal. "Daripada julat harga yang dikenakan, peningkatan bukannya daripada kadar yang kosong tiba-tiba menjadi lapan peratus. Selama ini sudah ada enam peratus dan peningkatan itu secara efektignya adalah hanya dua peratus.

"Peningkatan ini mungkin akan dirasai, reaksi spontan kita jangkakan, namun trend jangka panjang ataupun menuju ke separuh kedua tahun ini, ia akan kembali normal dan saya merasakan pasaran masih lagi baik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis pelancaran laporan tahunan 'Reviu Pasaran Hartanah 2023/2024' Rahim & Co di sini, hari ini.Laporan itu mengkaji pasaran hartanah bagi setiap negeri dalam Malaysia.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Rahim & Co, Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Harta Tanah, Siva Shanker.

Mengenai prospek pasaran hartanah untuk tahun ini, Sulaiman berkata, permintaan kukuh dilihat untuk segmen rumah bertanah kerana ia kekal sebagai pilihan utama pembeli terutamanya bagi projek yang menawarkan unit pada harga berpatutan.

Katanya, bagi pembangunan bertingkat, nilai tambah stesen transit di dalam projek pembangunan berorientasikan transit (TOD) akan terus menjadi tarikan kepada pembeli dan pelabur.

"Pembeli dan penghuni rumah pada masa ini, terutamanya dalam kalangan belia, tertarik dengan penawaran pembangunan bersepadu yang lengkap dengan pelbagai kemudahan.

"Walaupun isu kemampumilikan masih membelenggui pasaran, paras permintaan hartanah kediaman dijangka akan kekal dominan, namun lanskap pasaran akan terus berubah daripada segi harga, reka bentuk dan lokasi.

"Cabaran pemilikan rumah juga memupuk pertumbuhan dalam pasaran sewa yang semakin menjadi pilihan arus perdana bagi warga kota," katanya sambil menambah kadar pertumbuhan sederhana pasaran hartanah pada 2023 dijangka berlanjutan ke 2024.

Sulaiman berkata, pasaran juga sedang mengimbangi semula suntikan tawaran baharu yang telah lama tertangguh. Katanya, pemangkin lain seperti program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang disemak semula dan Akta Penyewaan Kediaman yang pernah dibahaskan berpotensi untuk meningkatkan permintaan untuk pasaran pembeli asing serta sektor sewaan pasaran hartanah.

"Memandangkan pasaran hartanah adalah bersifat pelbagai, unik dan dinamik, maka peluang pertumbuhan bergantung kepada pelbagai faktor termasuk lokasi. "Ada daripadanya yang adalah kawasan yang pernah 'hot-spot' (tumpuan), kini berdaya untuk dihidupkan semula melalui penambahbaikan infrastruktur dan dasar pemangkin baharu.

"Ini termasuk projek infrastruktur yang sedang berjalan dan dicadangkan seperti Lebuhraya Pan-Borneo, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), yang berpotensi untuk mengukuhkan pertumbuhan dan peluang ekonomi tempatan serta menjana pertumbuhan pasaran hartanah," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2024/01/1206645/permintaan-rumah-tidak-terkesan-kenaikan-cukai-perkhidmatan

 


>> Back to News


Print