Kesan buruk lot lidi
13 Feb 2024MEMILIKI kediaman sendiri untuk berteduh antara impian semua orang dan pelbagai kaedah digunakan dalam milikan hartanah itu.Ini termasuklah pembelian lot lidi iaitu merujuk kepada tanah yang mempunyai geran sah namun ia akan dibahagikan kepada beberapa lot kecil untuk dijual semula kepada pembeli.
Lazimnya ia banyak berlaku kepada tanah berstatus tanah pertanian tetapi dijual sebagai lot bangunan kepada pihak pembeli yang lain.Lot lidi juga tidak mempunyai sebarang geran individu berasingan dan berbeza dengan geran kongsi pemilikan bersama.
Meskipun pemilikan kediaman di atas lot lidi amalan yang biasa dilakukan, namun ramai tidak mengetahui kesan buruk sehinggalah ada isu berkaitan timbul.Satu kes dikongsi seorang individu hanya mahu dikenali sebagai Izat, membabitkan pewarisan rumah pusaka atau peninggalan bapanya di Kuala Krai, Kelantan.
Katanya, keluarganya terpaksa 'berputih mata' apabila rumah pusaka orang tuanya didirikan atas lot lidi tidak boleh diwarisi."Satu keputusan berat dan pengalaman buruk kerana tuan tanah tidak bersetuju memasukkan nama saya sebagai penama bersama dalam geran itu.
"Apabila didesak tuan tanah yang menjual lot itu bertindak 'menghalau' ibu yang masih tinggal di rumah itu. Dia meminta kami kemukakan bukti perjanjian pembelian lot tanah itu yang berlangsung lebih 30 tahun."Dulu orang tua saya bayar kira-kira RM20 ribu secara beransur-ansur dengan sebahagian besar dalam bentuk tunai dan itu menyebabkan transaksi tidak ada.
"Kalau hendak ditanya kepada bapa pun sudah tiada dan kesilapan kecil iaitu sikap tidak selidik status tanah yang membawa kerugian dan kehilangan harta pusaka," katanya.
Menurut Peguam Hartanah, Khairul Anuar Shaharudin, meskipun lot lidi adalah pilihan dan penawaran yang murah bagi mendirikan kediaman tetapi ia mempunyai implikasi buruk."Saya perasan masalah lot lidi ini sudah lama berlaku sejak 24 tahun lalu sepanjang saya mewakili anak guam membabitkan jual beli hartanah.
"Sebelah Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu sudah lama dipraktiskan dan lebih buruk apabila perjanjian itu dibuat atas dasar kepercayaan dan lisan sahaja."Di Selangor pula selalunya di pinggir bandar dan pedalaman seperti daerah Kuala Selangor dan Sepang cukup giat ditawarkan pembelian lot lidi ini.
"Apa yang saya pasti 98 peratus permohonan anak guam yang mahu pecahan bahagian lot tanah atau geran individu tidak diluluskan kerana ada peruntukan undang-undang berkaitan menyekat milikan itu," katanya.Kata Khairul Anuar lagi, menurut Seksyen 205 (3), Kanun Tanah Negara, untuk setiap satu tanah pertanian berkeluasan 0.4 hektar mempunyai penama tunggal, ia hanya boleh 'dipindahmilikan' kepada satu nama saja.
"Begitu juga dengan tukar syarat tanah untuk menjadi lot kediaman. Jika tanah pertanian mahu dipecah bahagian bagi pembinaan lot teres seluas 500 kaki persegi hingga 6,000 kaki persegi, keluasan mestilah lebih 0.4 hektar."Dalam kebanyakan lot lidi tadi tidak boleh dipecahkan kerana keluasan tanah tidak mencukupi dan menggagalkan usaha untuk mendapatkan geran individu.
"Lot lidi 'sipi-sipi' boleh ditukar milik atau diwariskan biasanya penama yang ada perkaitan kekeluargaan seperti anak dan adik dengan prosedur ketat," katanya.Katanya, seperti sedia maklum apabila tanah lot lidi tiada geran individu, isu timbul pastinya berkaitan persempadanan kerana ia tidak tertera dalam geran status pertanian.
Kata peguam itu, ibaratnya membina rumah atas tanah orang dan banyak isu timbul berkaitan pembinaan rumah itu kelak."Bukan sahaja ada masalah untuk mendapatkan pembiayaan atau bantuan perumahan kerajaan, tapi ia juga ada isu membabitkan pendaftaran elektrik dan air.
"Semua pemilik membeli rumah pada lot lidi kemungkinan terpaksa kongsi meter air dan elektrik dengan tuan tanah. Disebabkan isu ini ada kerajaan tempatan melonggarkan syarat bagi menangani isu terbabit,"katanya.
Justeru Khairul Anuar menyarankan supaya bakal pemilik mendapatkan penjelasan dari pihak berkaitan dan rundingan peguam."Pertama sekali pemilik hartanah kena semak status tanah dibeli sama ada tanah kediaman, tanah komersial, tanah rezab atau tanah pertanian. Boleh buat dahulu carian tanah di pejabat tanah.
"Selidik juga 'broker' atau ejen hartanah mahupun pemaju sama ada mempunyai kredibiliti dan reputasi baik atau sebaliknya."Sebaiknya dapatkan pandangan perunding hartanah atau peguam supaya tiada 'kelompongan' dalam jual beli tanah. Ia dapat mencegah daripada menjadi mangsa kepada kes berkaitan tanah lot lidi," katanya.
Urus niaga lot lidi dengan ketiadaan hak milik individu dan pindah milik kepada pembeli juga bertentangan dengan prinsip Sistem Torrens yang menjadi teras kepada Kanun Tanah Negara.
Sistem ini yang berasal dari Australia Selatan menekankan pentingnya hak milik dan kepentingan didaftarkan di dalam dokumen hak milik.Perbuatan urus niaga tanah lot lidi menyalahi Kanun Tanah Negara, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 serta Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Dari sudut undang-undang, pecahan tanah yang tidak sah dan tanpa pengubahan kategori atau syarat tanah adalah salah.ebarang bentuk binaan di atas lot lidi yang tidak ditukar syarat tanah pertanian pula misalnya adalah melanggar Kanun Tanah Negara dan boleh dilucut hak (dirampas) oleh Pentadbir Tanah mengikut peruntukan Seksyen 127-129 Kanun Tanah Negara.
https://www.hmetro.com.my/PnP/2024/02/1059092/kesan-buruk-lot-lidi
>> Back to News