shopify analytics ecommerce
tracking

60 peratus bakal pembeli pilih rumah bawah RM400,000

27 Feb 2024

KUALA LUMPUR: Kajian Sentimen Pengguna (CSS) separuh pertama 2024 oleh PropertyGuru Malaysia mendedahkan bahawa 30 peratus daripada responden merancang untuk membeli hartanah dalam tempoh dua tahun akan datang.Dalam kalangan kumpulan ini, sebanyak 60 peratus mempertimbangkan untuk membeli rumah bernilai RM400,000 atau kurang, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah dan generasi muda di Malaysia.

Pengurus Negara, PropertyGuru Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my), Sheldon Fernandez berkata, CSS separuh pertama 2024 ini menyerlahkan permintaan tinggi berterusan untuk perumahan mampu milik, terutamanya dalam kalangan pekerja berpendapatan rendah dan keluarga muda.

"Walau bagaimanapun, adalah penting untuk diingat bahawa pandangan pasaran hartanah Malaysia PropertyGuru 2024 menunjukkan penurunan suku kepada suku sebanyak 7.4 peratus dalam Indeks Permintaan Jualan pada suku keempat 2023."Ini menunjukkan bahawa walaupun niat untuk membeli ada, tetapi pelaksanaannya mungkin terjejas oleh pelbagai faktor seperti ketidakpastian ekonomi dan kenaikan kadar faedah," katanya dalam satu kenyataan.

Sheldon berkata, kajian itu juga menunjukkan 60 peratus daripada responden bersetuju bahawa peningkatan kadar cukai perkhidmatan, seperti yang diperkenalkan dalam Bajet 2024, akan mempengaruhi kos pembelian hartanah, menyebabkan pembeli menjadi lebih peka terhadap harga dan berhati-hati dalam keputusan pembelian mereka.

Selain itu, beliau berkata harga yang tinggi telah mengalihkan minat pembeli ke arah pasaran sewa di mana trend sewa mengekalkan permintaan yang kuat sepanjang 2023 dan dijangka meningkat dalam tempoh yang terdekat.

"Apabila pasaran berkembang, adalah penting bagi pemain industri untuk memahami keutamaan dan trend pengguna semasa di mana ia akan membolehkan mereka menyesuaikan tawaran hartanah mereka dan menyumbang kepada pembangunan perumahan mampu milik untuk rakyat Malaysia."Selain daripada kebimbangan kewangan, bakal pembeli rumah menyatakan kebimbangan terhadap kelewatan pembinaan projek (65 peratus) dan kualiti pembinaan rendah (64 peratus) apabila mempertimbangkan hartanah yang baru dilancarkan," katanya.

Sheldon berkata, kebimbangan ini menonjolkan kepentingan pengurusan projek dan kawalan kualiti, serta keperluan pemaju hartanah untuk menangani isu-isu ini bagi menarik perhatian bakal pembeli rumah.

"Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), sebanyak 481 projek sakit dan 112 projek terbengkalai telah dikenal pasti di seluruh negara menjelang Jun 2023, justeru tidak menghairankan bahawa 66 peratus daripada responden menuntut penguatkuasaan yang lebih baik oleh pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan tertinggi semasa tempoh liabiliti kecacatan (DLP).

"Sebanyak 66 peratus menyatakan keperluan untuk penubuhan Dana Jaminan Pemaju untuk melindungi pembeli daripada kehilangan dana disebabkan kebankrapan atau aktiviti penipuan oleh pemaju di mana penemuan ini menegaskan tentang kepentingan dasar perumahan yang lebih kuat bagi melindungi kepentingan pembeli serta meningkatkan keyakinan dalam pasaran hartanah," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2024/02/1215046/60-peratus-bakal-pembeli-pilih-rumah-bawah-rm400000

 


>> Back to News


Print