shopify analytics ecommerce
tracking

Bantu kestabilan pasaran perumahan

11 Mar 2024

Kuala Lumpur: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus akan menstabilkan pasaran perumahan berikutan pengguna terbiasa dengan kadar faedah semasa dan masih sanggup membuat pinjaman untuk gadai janji.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Juwai IQI Kashif Ansari berkata, pinjaman isi rumah bagi tujuan ini dan tujuan lain meningkat enam peratus pada Januari, menunjukkan bahawa pengguna selesa dengan kedudukan kewangan dan prospek masa depan mereka.

"Tinjauan pasaran kami menunjukkan harga kediaman dan sewa mampu meningkat sehingga hampir 10 peratus pada 2024. Julat harga paling popular bagi kediaman mampu milik tahun ini bernilai sehingga RM500,000," katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.

Beliau berkata, keputusan mengekalkan kadar BNM itu adalah bagi mengimbangi keinginan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan mengelak peningkatan inflasi.

Juwai IQI juga menjangka BNM mengekalkan kadar dasar semalaman tidak berubah pada tiga peratus sehingga sekurang-kurangnya 2025, katanya.

"Inflasi adalah kebimbangan besar bagi BNM dan bank itu salah satu bank pusat pertama di dunia yang mula menaikkan kadar dalam kitaran semasa bagi menurunkan kadar inflasi ke paras semasa," kata Kashif.

Beliau mengunjurkan ekonomi Malaysia akan pulih tahun ini berikutan kekuatan permintaan dalam dan luar negeri.

"Kami percaya pertumbuhan di China akan meningkat apabila langkah rangsangan kerajaan mula memberi kesan dan itu akan menyumbang kepada permintaan global yang lebih kukuh untuk eksport Malaysia," katanya.

Jawatankuasa Dasar Monetari BNM memutuskan untuk mengekalkan kadar OPR pada 3.00 peratus dan berkata, pendirian dasar monetari itu kekal menyokong ekonomi serta konsisten dengan penilaian semasa terhadap inflasi dan prospek pertumbuhan.

Mengenai inflasi, bank pusat itu berkata kedua-dua inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berada pada 1.5 peratus dan 1.8 peratus pada Januari 2024, selari dengan jangkaan.

Ia berkata, inflasi pada 2024 dijangka kekal sederhana, mencerminkan secara amnya keadaan permintaan yang stabil dan tekanan kos yang terkawal.

Mengenai ringgit, BNM berkata walaupun asas-asas ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia adalah baik, ringgit pada masa ini berada di bawah nilai saksama.

Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan.

https://www.hmetro.com.my/bisnes/2024/03/1068255/bantu-kestabilan-pasaran-perumahan

 


>> Back to News


Print