shopify analytics ecommerce
tracking

Purata harga rumah baharu di Kuala Lumpur paling tinggi RM708,462 - Juwai IQI

08 May 2024

KUALA LUMPUR: Purata harga jualan rumah baharu pada suku pertama tahun ini adalah RM582,887, manakala purata harga jualan rumah terpakai atau 'subsale' adalah RM521,614, demikian menurut Juwai IQI.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari, berkata purata harga jualan berkenaan adalah lebih tinggi berbanding purata harga rumah yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) pada 2023 iaitu RM467,144.

"Tidak mengejutkan bahawa Kuala Lumpur mempunyai hartanah paling mahal di negara ini. Purata harga jualan rumah 'subsale' di Kuala Lumpur adalah RM801,557. Rumah baharu adalah lebih murah, dengan purata harga RM708,462.

"Pada suku pertama, Melaka adalah negeri paling murah bagi unit rumah baharu. Purata harga sebuah unit rumah baharu di Melaka adalah RM305,463. Selepas Melaka, negeri seterusnya yang kurang mahal untuk membeli sebuah unit rumah baharu adalah Pahang, Perak dan Kelantan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kashif berkata, selepas Kuala Lumpur, tiga negeri paling mahal untuk membeli rumah 'subsale' pula adalah Sarawak, Sabah, and Johor.

Katanya, tiga negeri paling mahal untuk membeli rumah baharu pula adalah Johor, Sabah dan Kedah.

"Terengganu adalah negeri paling murah untuk membeli rumah 'subsale', dengan purata harga RM293,714. Selepas Terengganu, negeri paling murah untuk membeli rumah 'subsale' adalah Perak, Kedah dan Pahang," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan pembelian rumah walau bagaimanapun adalah dalam lingkungan harga lebih rendah, dengan lebih separuh pembeli rumah baharu membayar RM500,000 atau kurang pada suku pertama dan hanya suku daripada pembeli membayar lebih RM750,000 bagi rumah baharu mereka.

Katanya, pasaran 'subsale' menyaksikan nisbah yang serupa, dengan hampir separuh pembeli membelanjakan RM500,000 atau kurang daripada jumlah itu.

"Satu berita baik bahawa pembeli rumah mampu milik dapat mencari rumah yang menarik untuk dibeli. Ini bermakna, pasaran membekalkan banyak rumah bagi golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

"Pasaran adalah amat seimbang, dengan bekalan mencukupi bagi menampung semua pembeli pada setiap peringkat harga," katanya.

Mengenai perbelanjaan bulanan pembeli rumah, Kashif berkata purata kadar faedah bagi pinjaman rumah baharu adalah 4.2 peratus, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

"Kami membuat kiraan jumlah yang perlu dibayar bagi pembeli rumah RM300,000 setiap bulan. Jika meletakkan deposit RM30,000 untuk rumah RM300,000, perbelanjaan gadai janji mereka adalah RM1,228 sebulan.

"Ini menjadikan pembelian rumah mampu milik jauh lebih murah berbanding purata harga sewa, iaitu RM1,975 berdasarkan pememuan terbaharu kami dalam Laporan Indeks Sewaan RUmah Malaysia: Suku Keempat 2023.

"Membeli sebuah rumah mampu milik boleh menjimatkan anda RM747 setiap bulan berbanding membayar purata sewa," katanya.

Kashif berkata, data mengenai perbelanjaan bulanan ini boleh membantu pembeli memahami kedudukan kewangan mereka apabila mempertimbangkan pembelian sebuah rumah.

Katanya, pembeli perlu mengetahui bajet mereka apabila membuat penilaian mengenai kemampuan jangka panjang dan keupayaan untuk membuat pembayaran, di tengah-tengah persekitaran ekonomi yang semakin meningkat.

"Kami terus mempercayai bahawa memiliki rumah sendiri adalah jalan paling singkat ke arah keterjaminan dan kebebasan kewangan bagi kebanyakan rakyat Malaysia," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2024/04/1240931/purata-harga-rumah-baharu-di-kuala-lumpur-paling-tinggi-rm708462

 


>> Back to News


Print