shopify analytics ecommerce
tracking

Lebih separuh rumah baharu masih di bawah RM500,000

09 May 2024

KUALA LUMPUR: Lebih separuh daripada hartanah kediaman baharu yang dilancarkan masih berharga di bawah RM500,000, memberi penekanan terhadap keutamaan untuk pilihan pemilikan rumah mampu milik.

Penganalisis Kenanga Research, Clement Chua, berkata persekitaran harga berkenaan menyaksikan pemaju hartanah telah menyesuaikan diri terhadap dinamik pasaran dengan menawarkan produk mampu milik untuk memenuhi keperluan pembeli rumah kali pertama.

Katanya, ia juga sejajar dengan perubahan pilihan pengguna yang sebahagiannya cenderung oleh ketidaktentuan ekonomi yang berterusan."Sejumlah 61 peratus hartanah kediaman yang baharu dilancarkan adalah berharga di bawah RM500,000," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Chua berkata, sepanjang dua tahun kebelakangan ini, terdapat peningkatan jualan secara beransur-ansur tetapi konsisten, menunjukkan pasaran yang berkembang secara sederhana dan tidak agresif.Katanya, demografi golongan muda yang semakin berkembang juga memberi gambaran terhadap peningkatan dalam pembeli rumah kali pertama, menyuntik momentum ke dalam sektor perumahan.

"Inisiatif kerajaan yang disesuaikan secara khusus untuk menyokong pembeli rumah menawarkan prospek untuk pasaran yang lebih seimbang, memupuk kebolehcapaian dan kestabilan, yang memberikan keyakinan kepada pembeli, penjual serta pelabur."Ia juga mengurangkan ketidaktentuan dan risiko kerugian kewangan yang ketara yang berkaitan dengan pergerakan harga yang tidak menentu," katanya.

Namun begitu, katanya, di tengah-tengah aliran positif itu, cabaran berterusan selepas kos sara hidup meneruskan trajektori menaik manakala pendapatan kekal tidak berubah."Menuju ke hadapan, sektor ini dijangka mengekalkan tumpuannya pada produk mampu milik, didorong oleh faktor seperti pertumbuhan penduduk, pembandaran dan peningkatan permintaan untuk unit berharga berpatutan," katanya.

Chua menjelaskan, pembangunan berorientasikan transit (TOD) berkemungkinan mendapat tarikan, terutamanya di Lembah Klang kerana pembeli mencari pilihan ulang-alik yang mudah."Walaupun menghadapi cabaran yang berterusan, seperti peralihan ekonomi dan perubahan peraturan, sektor ini menunjukkan daya tahan dan kebolehsuaian," katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan, terdapat sentimen meyakinkan dalam pasaran hartanah Johor disokong inisiatif Zon Ekonomi Khas dan ketersambungan pengangkutan awam yang lancar selepas Rapid Transit System Link (RTS Link) Johor Bahru-Singapura siap pada 2026.

"Kami percaya ia akan mengubah Johor Bahru menjadi sebuah metropolis bertaraf dunia yang berkembang maju, sekali gus dapat menarik ramai penduduk dari bahagian lain di Malaysia dan negara jiran," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2024/05/1241414/lebih-separuh-rumah-baharu-masih-di-bawah-rm500000

 


>> Back to News


Print