shopify analytics ecommerce
tracking

Pemaju tidak bertanggungjawab musnahkan impian pembeli rumah

14 May 2024

KUALA LUMPUR: Bagi rata-rata rakyat Malaysia, memiliki sebuah hartanah adalah impian yang menjadi kenyataan namun, sesetengah insan impian hanya tinggal impian ekoran harga yang kian meningkat melangkaui kemampuan mereka.

Ada dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya daripada golongan berpendapatan sederhana dan rendah, terpaksa bertaruh darah, keringat dan air mata untuk membeli dan memiliki sebuah hartanah.

Impian memiliki hartanah boleh bertukar mimpi ngeri dalam sekelip mata bagi sesetengah orang, hanya sejurus menerima notis serahan milikan kosong (VP) manakala sesetengah yang lain, beberapa bulan kemudian.

Sebilangan besar hartanah yang dijual di Malaysia ditawarkan keperluan asas yang tidak lengkap dan pembeli perlu membuat pengubahsuaian sendiri – seperti membina dapur – sebelum boleh diduduki dan akhirnya menjadi sebuah kediaman. Pastinya, semua ini memerlukan kos tambahan.

Contohnya di kawasan Lembah Klang, sebuah unit pangsapuri mampu milik ditawarkan pada harga minimum RM300,000 manakala kerja-kerja pengubahsuaian asas boleh menelan belanja sekitar RM20,000 atau lebih.

Itu belum lagi ditambah dengan kos tersembunyi seperti deposit dan caj utiliti, insurans rumah, cukai hartanah, yuran penyelenggaraan dan kumpulan wang pelepas bagi hartanah strata atau hartanah komuniti berpagar.

Dari sinilah bermulanya igauan ngeri.

Walaupun membayar sejumlah harga yang besar, ramai rakyat Malaysia akhirnya mengalami kerosakan unit ekoran mutu kerja yang rendah dan terpaksa menanggung akibat daripada pembangunan cincai-cincai oleh pemaju.

Tidak dinafikan ada pemaju yang mengambil tanggungjawab dan membetulkan masalah semasa tempoh liabiliti kecacatan (DLP) namun, malangnya ada yang tidak mementingkan kebertanggungjawaban malah ada yang lebih teruk apabila 'buta' terhadap aduan pemilik.

Sehabis daya pejabat penyelenggaraan pemaju mungkin melakukan pembaikan sekali sahaja namun, masalah utama khususnya berkaitan dengan isu struktur tidak pernah diselesaikan sepenuhnya.

Masalah sedemikian menjejaskan semua jenis hartanah, daripada kediaman mewah oleh syarikat pemaju terkemuka sehinggalah kepada projek perumahan kos rendah yang dibangunkan menerusi program tajaan kerajaan.

Banyak rungutan yang timbul – melibatkan pendawaian tidak menepati piawaian, mutu kerja yang teruk, pelbagai keretakan dan kebocoran air – masalah lazim yang dihadapi pemilik rumah.

Sebilangan pemaju mengambil jalan enteng dengan menyalahkan keadaan cuaca melampau, sedangkan situasi itu mungkin terpakai untuk rumah yang dibina beberapa dekad lepas, bukannya yang dibina sekurang-kurangnya dalam 10 hingga 15 tahun.

Tambahan pula dalam era masa kini wujud kesedaran yang tinggi mengenai kesan buruk cuaca ekstrem dan pemanasan global.Ironinya bangunan berusia berdekad-dekad kelihatan tersergam dalam keadaan tegap, baik dan tidak mudah rosak seumpama batuan pejal.

"Kami menerima kunci dan berpindah ke unit kediaman kami pada Februari 2021. Sejak itu, terdapat banyak keretakan dan kebocoran. Sesetengah unit (di bangunan pangsapuri yang sama), air meresap keluar daripada lantai.

"Saya bimbang suatu hari nanti pangsapuri ini akan lapuk dan runtuh," kata seorang pemilik pangsapuri kos rendah di Lembah Klang yang enggan namanya disiarkan.

Penulis turut memahami dilema pemilik rumah memandangkan penulis sendiri bergelut dalam menyelesaikan masalah hartanah yang dibeli daripada pemaju terkenal.

Sudahlah sistem penghawa dingin rosak, pendawaian pula berkualiti rendah ditambah dengan mutu kerja yang sangat teruk menjadi antara masalah yang dihadapi sejak keluarga berpindah ke unit itu pada 2020.

Seorang pegawai kanan dari syarikat pemaju perumahan itu secara terbuka mengakui projek tersebut merupakan projek yang bermasalah.Begitulah sahaja ungkapannya. Tidak ada jalan lain dan tiada tindakan lanjut yang diambil oleh pemaju untuk memulihkan keadaan dengan membaiki pangsapuri sedangkan pembeli terus menderita.

Berdasarkan paparan berita dan liputan media, tidak dinafikan ada kes yang serupa dan malah lebih teruk lagi apabila hartanah dibina dengan buruk selain kisah seram yang diceritakan pemilik rumah.

Kesengsaraan ditanggung mereka dibebankan lagi dengan sikap tidak peduli yang ditunjukkan oleh pemaju hartanah.

Langkah penyelesaian mudah adalah mencadangkan agar pemilik rumah mendapatkan bantuan dengan memfailkan tuntutan mahkamah terhadap pemaju tapi kos guaman juga menuntut sejumlah besar wang dari poket pembeli.Pemilik rumah juga terpaksa bergelut dengan kos sara hidup yang semakin meningkat untuk menampung kehidupan mereka.

Oleh itu, membawa pihak pemaju melalui proses mahkamah adalah perkara terakhir yang pemilik rumah ingin lakukan kerana prosiding menuntut masa dan tenaga pembeli, apatah lagi kos yang perlu dikeluarkan.

Kerajaan khususnya kementerian yang bertanggungjawab terhadap pengguna dan perumahan, jabatan penilaian serta agensi yang terlibat dalam pembinaan perlu tampil ke depan membantu pemilik rumah.

Mungkin undang-undang kecil perlu dipinda untuk memastikan pemaju hartanah bertanggungjawab ke atas kerja-kerja cuai tanpa mengambil kira tempoh hartanah itu dibeli.Jika pemaju tidak bertanggungjawab dan tidak melakukan pembaikan yang diperlukan ke atas hartanah yang mereka jual, seseorang itu seharusnya bimbang memikirkan akibat terhadap pihaknya.

Seandainya berlaku, keadaan berpotensi menjadi malapetaka atau kemalangan di kemudian hari seperti struktur rumah dan bangunan runtuh, jika tidak dibetulkan dengan segera.

Kerajaan perlu melakukan banyak lagi perkara demi melindungi pembeli rumah. – Bernama

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2024/05/1246034/pemaju-tidak-bertanggungjawab-musnahkan-impian-pembeli-rumah

 


>> Back to News


Print