shopify analytics ecommerce
tracking

Kekal jaga kewangan

15 May 2024

Kuala Lumpur: Kestabilan dan pengekalan kadar dasar semalaman (OPR) dilihat memberi kelegaan kepada peminjam yang sedia ada terutamanya bagi mereka yang mempunyai kontrak pembiayaan dengan kadar berubah.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pihaknya percaya Bank Negara Malaysia (BNM) mahu menyokong pertumbuhan ekonomi domestik dengan jangkaan untuk mengekalkan OPR pada 3.0 peratus untuk sepanjang tahun ini.

Katanya, ia tindakan mengimbangi antara menyediakan sokongan kepada pertumbuhan ekonomi memandangkan OPR membabitkan kos dan menjejaskan kos pinjaman bagi perniagaan dan isi rumah.

"Sekurang-kurangnya kestabilan OPR ini memberi kelegaan kepada peminjam yang sedia ada terutamanya bagi mereka yang mempunyai kontrak pembiayaan dengan kadar berubah.

"Namun, orang ramai disaran untuk sentiasa menjaga kedudukan kewangan peribadi supaya sentiasa berdisiplin dan kekal selesa dalam melunaskan hutang sedia ada," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, pada masa sama, risiko inflasi lebih tinggi juga agak ketara terutama menjamin keadaan monetari.

Beliau berkata, buat masa ini, membiarkan OPR tidak berubah adalah langkah yang betul dan melangkah ke hadapan, BNM akan terus meneliti prospek inflasi yang berkembang.

"Keputusan BNM sudah dijangka oleh semua ahli ekonomi. Berdasarkan kenyataan itu, kami berpendapat bahawa BNM nampaknya mempunyai pandangan yang membina terhadap prospek pertumbuhan ekonomi tahun ini.

"Ini berikutan peningkatan dalam perdagangan global, ketibaan pelancong yang lebih tinggi, pelaksanaan projek infrastruktur, realisasi pelaburan diluluskan dan keadaan pasaran buruh yang sihat.

"Bagaimanapun, BNM kekal berhati-hati terhadap risiko inflasi yang lebih tinggi iaitu daripada kesan rasionalisasi subsidi, kawalan harga, turun naik harga komoditi dan turun naik dalam pasaran kewangan," katanya.

Mohd Afzanizam berkata, margin yang luas dalam ramalan inflasi mencerminkan ketidakpastian lebih besar terhadap kesan daripada rasionalisasi subsidi ke atas produk berkaitan petroleum.

https://www.hmetro.com.my/bisnes/2024/05/1090138/kekal-jaga-kewangan

 


>> Back to News


Print