shopify analytics ecommerce
tracking

Kuota, diskaun hartanah Bumiputera wajar disemak - Penganalisis

26 Feb 2025

KUALA LUMPUR: Kuota dan diskaun bagi Bumiputera dalam sektor hartanah wajar disemak semula supaya lebih bersasar dan menepati keperluan semasa, sekali gus memastikan keseimbangan antara keadilan sosial dan dinamik pasaran.

Penilaian semula itu dilihat penting bagi mengelakkan lebihan hartanah tidak terjual, menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan pembeli yang benar-benar memerlukan serta memastikan dasar itu terus relevan dalam ekosistem ekonomi dan perumahan negara yang semakin berkembang.

Pengarah Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Dr Suraya Ismail, berkata kuota Bumiputera dalam sektor hartanah sudah lama menjadi instrumen dasar sejak 1970-an bagi memastikan pemilikan aset lebih inklusif dalam kalangan masyarakat Bumiputera.

Beliau berkata, matlamat utamanya pada masa itu adalah untuk memastikan bahawa kejiranan tidak hanya didiami oleh satu kaum sahaja, sebaliknya mencerminkan komposisi kaum yang lebih seimbang.

"Namun, itu adalah pada tahun 1970-an. Hari ini, perbincangan bukan lagi mengenai sama ada kita perlu terus berusaha ke arah itu (komposisi kaum), tetapi lebih kepada cabaran kenaikan harga hartanah.

"Saya tidak mahu menggambarkan keadaan ini sebagai satu krisis kerana pada asalnya, dasar itu diwujudkan untuk memberikan insentif kepada orang ramai agar tinggal di kawasan yang mungkin mereka tidak mahu tinggal atas faktor budaya. Hari ini, kita sudah mencapai tahap koordinasi sosial yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Hartanah Malaysia Ke-17 anjuran Persatuan Penilai, Pengurus Harta, Ejen Harta & Perunding Harta Swasta Malaysia (PEPS) di sini, semalam.

Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang dilaksanakan pada 1971 antara lain mengandungi dasar kuota Lot Bumiputera, iaitu unit tanah atau hartanah yang hanya boleh dibeli dan dimiliki oleh golongan Bumiputera.

Matlamat dasar ini adalah meningkatkan peratusan pemilikan hartanah oleh golongan Bumiputera di Malaysia.

Sekurang-kurangnya 30 peratus projek hartanah termasuk pemajuan perumahan perlu diperuntukkan kepada golongan Bumiputera, sama ada hartanah kediaman mahupun komersial.

Lot Bumiputera kebiasaannya adalah antara lima hingga 15 peratus lebih murah berbanding Lot Bukan Bumiputera.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur Persidangan Hartanah Malaysia Ke-17, Sulaiman Akhmady Mohd Saheh, berkata kuota Bumiputera adalah seiring dengan DEB yang bertujuan membantu komuniti atau segmen dalam masyarakat yang memerlukan sokongan.

Beliau berkata, keperluan itu masih wujud di beberapa kawasan tertentu pada masa ini, namun terdapat juga laporan daripada pemaju yang menyatakan jumlah hartanah yang tidak terjual adalah tinggi, termasuk membabitkan kuota Bumiputera.

"Kami percaya bahawa keseimbangan diperlukan dalam hal ini dan ia bukanlah perkara yang mudah. Keseimbangan antara tanggungjawab sosial serta faktor ekonomi dan pasaran bebas perlu diambil kira.

"Sistem kuota Bumiputera boleh diperhalusi dan disesuaikan mengikut senario tertentu bagi membolehkan pasaran berkembang, tetapi pada masa yang sama memastikan komuniti yang memerlukan termasuk golongan berpendapatan rendah dan bukan hanya Bumiputera tidak dipinggirkan," katanya.

Sulaiman berkata, pendekatan sama kuota Bumiputera juga boleh diambil seperti pelaksanaan subsidi bersasar bahan api serta tarif elektrik yang diperkenalkan oleh kerajaan ketika ini.

Beliau berkata, rasionalisasi subsidi kini semakin mendapat perhatian kerana ia pasti memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah.

"Jika kita melihat negara lain, jumlah subsidi yang diberikan jauh lebih rendah. Salah satu masalah utama di negara kita adalah cabaran yang dihadapi oleh golongan berpendapatan pertengahan.

"Isu ini bukan hanya berkaitan harga hartanah, namun cara kita boleh meningkatkan pendapatan rakyat. Oleh itu, tumpuan kepada sektor berimpak tinggi amat penting," katanya.

Penasihat Kumpulan CBRE WTW, Foo Gee Jen pula berkata, kuota Bumiputera bagi sektor hartanah dilihat menguntungkan golongan 'mahakaya' berbanding golongan sasar yang memerlukan.

Beliau berkata, kuota itu memberikan potongan harga menyeluruh tanpa mengira harga hartanah dan status pendapatan pembeli yang turut memberikan kemungkinan lonjakan harga hartanah.

"Beberapa institusi telah membangkitkan persoalan mengapa golongan Bumiputera yang mahakaya masih menerima diskaun jika seseorang mampu membeli hartanah bernilai RM1 juta, mereka bukan lagi dalam kategori miskin.

"Diskaun sepatutnya diberikan kepada golongan yang membeli rumah berharga RM300,000. Mengapa seseorang yang membeli hartanah bernilai RM1 juta masih mendapat diskaun.

"Jumlah diskaun golongan kaya itu seharusnya diagihkan kepada lebih ramai pembeli rumah dalam kategori harga lebih rendah. Mekanisme ini perlu dikaji semula agar dapat membantu lebih ramai golongan memerlukan," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/02/1363910/kuota-diskaun-hartanah-bumiputera-wajar-disemak-penganalisis


>> Back to News


Print