shopify analytics ecommerce
tracking

Transaksi hartanah tertinggi dalam sedekad, rumah tak terjual berkurangan

03 Mar 2025

PUTRAJAYA: Pasaran hartanah negara melakar pencapaian memberangsangkan dengan merekodkan jumlah dan nilai transaksi tertinggi dalam tempoh sedekad pada 2024.

Jumlah transaksi menokok 5.4 peratus kepada 420,525 berbanding 399,008 pada 2023, manakala nilai transaksi melonjak 18 peratus kepada RM232.3 bilion, berbanding RM196.83 bilion pada 2023.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata pasaran primer juga memacu peningkatan yang tinggi sebanyak 34.1 peratus kepada 75,784 unit dengan prestasi jualan pada 37.3 peratus bagi tahun 2024.

Selain itu, katanya perkembangan positif dilihat bagi prestasi jualan hartanah kediaman siap dibina yang tidak terjual atau 'overhang' menurun kepada 23,149 unit bernilai RM13.94 bilion berbanding 25,816 unit bernilai RM17.68 bilion pada 2023.

"Prestasi penghunian kompleks perniagaan merekodkan peningkatan marginal dengan kadar penghunian meningkat 78.8 peratus berbanding 77.4 peratus pada tahun sebelumnya.

"Sebaliknya, kadar penghunian pejabat binaan khas milik persendirian mencatat 71.7 peratus berbanding 71.9 peratus yang direkodkan pada tahun 2023.

"Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) mencatat pertumbuhan sederhana pada kadar 3.3 peratus dengan harga purata RM486,678 seunit. Semua negeri mengalami pertumbuhan sederhana antara 0.6 peratus hingga 5.5 peratus dengan rumah berkembar mendahului dengan peningkatan 4.1 peratus, diikuti rumah teres 3.6 peratus, rumah sesebuah 2.6 peratus dan bangunan bertingkat tinggi 2.3 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Laporan Pasaran Harta 2024 oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) di Institut Penilaian Negara (INSPEN) di sini, hari ini.

Amir Hamzah berkata, selain didorong pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada kadar 5.1 peratus, pertumbuhan positif pasaran hartanah pada 2024 didasari oleh pelaksanaan pelbagai usaha dan inisiatif kerajaan untuk merancakkan ekonomi Malaysia serta merangsang perkembangan pasaran hartanah di seluruh negara di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

"Antara inisiatif yang menyokong pertumbuhan ini termasuk pelonggaran syarat permohonan bagi program Malaysia My Second Home (MM2H), pelaksanaan projek industri utama di wilayah utara, pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, serta penubuhan Zon Kewangan Khas di Forest City.

"Inisiatif ini menyumbang impak yang signifikan kepada aktiviti pasaran harta tanah dan menjadi pemangkin prestasi luar biasa pasaran hartanah dalam tempoh 10 tahun," katanya.

Beliau menambah, ekonomi negara yang diunjur berkembang sebanyak 4.5 peratus hingga 5.5 peratus bagi tahun ini didorong oleh aktiviti transaksi yang mampan dan pertumbuhan dalam sektor pembinaan hartanah dijangka mampu mengekalkan pertumbuhan pasaran hartanah yang kukuh pada 2025.

Katanya, bagi memastikan pertumbuhan yang terus kukuh, kerajaan secara konsisten menyediakan insentif melalui perlaksanaan berterusan kerangka Ekonomi MADANI yang diterjemah dalam Belanjawan 2025, antaranya pelepasan cukai ke atas faedah pinjaman perumahan bagi pembelian yang dibuat antara 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027 bagi kediaman bernilai RM500,000 hingga RM750,000.

"Bagi meningkatkan akses pembiayaan bagi pembeli rumah pertama, dana di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dinaikkan menjadi RM10 bilion.

"Beberapa inisiatif pemangkin juga diperkenalkan bagi merangsang ekonomi dan pengembangan pasaran harta tanah, antaranya membangunkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan menubuhkan zon kewangan khas di Forest City, Johor yang dijangka akan menarik lebih ramai pelabur global ke Malaysia.

"Pembangunan infrastruktur seperti Projek Transit Link (RTS) di Johor, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek Lebuhraya Pan Borneo dijangka terus memangkin peningkatan ekonomi dan pasaran hartanah negara," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2025/02/1365959/transaksi-hartanah-tertinggi-dalam-sedekad-rumah-tak-terjual

 


>> Back to News


Print