shopify analytics ecommerce
tracking

Peluasan SST, penyasaran subsidi bahan api tak jejas jualan hartanah

08 Jan 2026

KUALA LUMPUR: Permintaan untuk hartanah di Malaysia kekal kukuh walaupun Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperluas dan langkah subsidi bahan api bersasar diperkenalkan, demikian menurut RHB Investment Bank.

Penganalisisnya, Loong Kok Wen, berkata jualan hartanah agregat untuk tempoh sembilan bulan pertama 2025 meningkat 11.4 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

"Dengan sumbangan perolehan luar negara tidak diambil kira, jualan sembilan bulan pertama 2025 masih lagi meningkat satu peratus tahun ke tahun.

Selain pelancaran projek yang semakin rancak daripada syarikat pemaju, perolehan yang bertahan ini menjadi petanda bahawa permintaan hartanah masih lagi kukuh, terutamanya selepas pelaksanaan perluasan SST dan subsidi bahan api bersasar pada separuh kedua 2025," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Beliau berkata, beberapa peristiwa penting pada tahun ini mampu merangsang sentimen pasaran hartanah, antara lain termasuk penyiapan projek pembinaan Laluan Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura menjelang akhir 2026, penyenaraian Sunway Healthcare Group pada suku pertama dan penyenaraian amanah pelaburan hartanah (REIT) bagi sesetengah syarikat pemaju.

Selain itu, katanya penjualan kemudahan pusat data sulung milik Sime Darby Property Bhd di Elmina pada suku ketiga dan tahap kemajuan pembinaan yang positif oleh Eco World Development Group (ECW) untuk pembinaan pusat data di Puncak Alam.

"Walaupun pembangunan-pembangunan yang membawa dorongan ini bukanlah projek baharu, tahap kemajuan yang positif dan penyiapan projek yang semakin hampir mampu membawa kesan yang cukup bermakna untuk menyegarkan sentimen pasaran susulan tahap kebolehlihatannya yang jelas," katanya.

Sementara itu, Kok Wen berkata langkah korporat yang akan dilaksanakan oleh pemaju besar pada 2026 juga mungkin menjadi pemangkin bagi kenaikan harga saham untuk syarikat terbabit disebabkan oleh perungkaian nilai, dan seterusnya membawa kepada potensi pemberian dividen 'khas' kepada pemegang saham.

Selain Sunway yang bakal menyenaraikan Sunway Healthcare Group, tiga pemaju lain mungkin akan memulakan langkah penyenaraian hartanah pelaburan mereka termasuklah Sime Darby Property dan S P Setia.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata persekitaran kadar faedah yang mereda dilihat amat menggalakkan untuk syarikat pemaju menambah simpanan tanah mereka.

"Selain penambahan tanah, kami berpendapat kos pembiayaan yang lebih murah juga patut menggalakkan pemaju untuk mengambil alih aset-aset hartanah.

"Sunway telah memaparkan contoh yang baik menerusi pengambilalihan MCL Land. Sementara itu, pihak pengurusan Sime Darby Property telah menyatakan rancangannya untuk memperoleh lebih banyak hartanah perindustrian demi mengukuhkan portfolio asetnya.

"Baru-baru ini juga terdapat khabar angin berkenaan penggabungan antara Sunway dan IJM Corp," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2026/01/1493132/peluasan-sst-penyasaran-subsidi-bahan-api-tak-jejas-jualan-hartanah

 


>> Back to News


Print