shopify analytics ecommerce
tracking

Kos pembinaan dijangka meningkat 19 peratus - REHDA

17 Mar 2022

KUALA LUMPUR: Kos pembinaan dijangka terus meningkat tahun ini dengan purata peningkatan sekitar 19 peratus berikutan peningkatan harga bahan mentah, demikian berdasarkan hasil kaji selidik terkini dijalankan persatuan pemaju hartanah, REHDA.

Pemangku Presiden REHDA Malaysia, Datuk NK Tong, berkata peningkatan kos pembinaan itu secara tidak langsung akan memberi kesan kepada harga hartanah, namun begitu sebarang peningkatan harga adalah bergantung kepada keupayaan pemaju untuk menyerap peningkatan kos dan kemampuan rakyat untuk menerima kenaikan harga.

Katanya, sebahagian besar pemaju hartanah telah menjangkakan peningkatan harga bahan binaan, dan mereka telah mengambil langkah untuk memastikan impak kos terkawal termasuk mengoptimumkan reka bentuk dan penggunaan teknologi dengan menawarkan hartanah memenuhi permintaan pasaran.

"Gangguan rantaian bekalan akan memberi tekanan kepada kos pembinaan. Walaupun terlalu awal untuk menyatakan impak konflik Russia-Ukraine terhadap pasaran (hartanah), namun ia dijangka akan memberi tekanan kepada kos untuk terus meningkat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan hasil Kaji Selidik Industri Hartanah Separuh Kedua 2021 dan Tinjauan Pasaran bagi 2022 REHDA secara dalam talian hari ini.

Namun begitu, berdasarkan kaji selidik itu, pemaju hartanah di negara ini lebih optimis terhadap prospek pasaran hartanah pada separuh kedua tahun ini dengan kebanyakannya bercadang melancarkan unit kediaman pada harga mampu milik.

Kaji selidik itu menunjukkan 51 peratus daripada 124 responden bercadang melancarkan projek baharu pada separuh pertama tahun ini membabitkan 24,557 unit, yang mana 17,969 adalah unit kediaman strata; 5,997 unit kediaman bertanah dan 591 unit komersil.

Namun dari segi prestasi jualan, majoriti responden atau 77 peratus menjangkakan prestasi jualan mereka 50 peratus dan ke bawah untuk separuh pertama 2022.

Tong berkata, kebanyakan responden menyasarkan untuk melancarkan unit dalam lingkungan harga RM250,001 hingga RM500,000, sementara bagi pelancaran hartanah di Johor, Selangor dan Pulau Pinang pula membabitkan harga antara RM500,001 hingga RM700,000.

Beliau berkata, walaupun kaji selidik itu hanya menarik 124 responden daripada jumlah keseluruhan ahlinya lebih 1,500, yang mana ia tidak mencakupi keseluruhan statistik, hasil kaji selidik terkini itu kekal berfungsi sebagai panduan berguna dan mencerminkan sentimen dalam industri hartanah.

Kaji selidik itu juga menunjukkan prestasi jualan hartanah meningkat pada separuh kedua 2021 dengan sebanyak 5,303 unit dijual berbanding 4,540 unit pada separuh pertama 2021, yang mana rumah teres dua hingga tingkat menjadi tumpuan.

Bagi unit tidak terjual, 67 responden melaporkan mempunyai 30 peratus dan ke bawah unit kediaman tidak terjual, yang mana sebahagian unit itu membabitkan harga antara RM250,001 hingga RM500, 000.

Sebanyak 64 peratus responden dengan unit tidak terjual menyatakan faktor yang menyumbang kepada unit tidak terjual adalah berikutan penolakan pinjaman, permintaan rendah dan unit Bumiputera yang belum dikeluarkan.

 

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2022/03/934315/kos-pembinaan-dijangka-meningkat-19-peratus-rehda

Oleh Mahanum Abdul Aziz - Mac 15, 2022 @ 2:43pm

 


>> Back to Article


Print