shopify analytics ecommerce
tracking

Pasaran harta tanah negara dijangka pulih 2022 - Tengku Zafrul

04 Apr 2022

KAJANG: Pasaran harta tanah negara dijangka pulih, tahun ini, dengan momentum positif dilihat melalui peningkatan nilai keseluruhan transaksi berjumlah RM145 bilion atau 22 peratus pada tahun lalu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata sektor harta tanah jenis kediaman adalah penyumbang utama kepada peningkatan itu melalui 198,812 transaksi bernilai RM76.90 bilion.

"Pada 2021, ekonomi negara meningkat sebanyak 3.1 peratus, berbanding penguncupan 5.6 peratus pada 2020. Ini menggambarkan momentum pemulihan ekonomi yang jelas, disumbang oleh pelbagai usaha kerajaan, termasuk pakej bantuan dan rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion serta Belanjawan 2021 yang mengembang.

"Sejajar prestasi berkenaan, pasaran harta tanah turut meningkat yang mana lebih 300,000 transaksi bernilai kira-kira RM145 bilion berjaya direkodkan pada 2021.

"Berbanding pada 2020, jumlah dan nilai transaksi berkenaan masing-masing meningkat sebanyak 1.5 peratus dan 22 peratus," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Laporan Pasaran Harta Tanah 2021 dan Laporan Lain, di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, lonjakan prestasi itu didorong pelbagai usaha kerajaan ke arah pemulihan ekonomi, sekali gus menjangka fasa peralihan ke endemik akan menyumbang kepada pertumbuhan lebih pesat.

"Malah dengan negara bergerak ke fasa peralihan ke endemik, bermula hari ini, pasaran harta tanah dijangka terus pulih selari dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 5.3 hingga 6.3 peratus bagi tahun ini," katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, harta tanah tidak terjual dalam pasaran (overhang) ialah antara isu perlu dilihat secara serius.

"Isu ketidakpadanan antara penawaran dan permintaan serta kemampuan pembeli, telah menyumbang kepada kemelut tanah kediaman siap dibina tetapi tidak terjual.

"Sebagai contoh, prestasi jualan pelancaran baharu (kediaman) bagi 2021 adalah sederhana, iaitu pada 39.3 peratus.

"Kediaman 'overhang' pula meningkat kepada lebih 36,000 unit dengan nilainya mencecah lebih RM22 bilion," katanya sambil memaklumkan sebahagian besar jumlah 'overhang' itu membabitkan kediaman berharga RM300,000 dan ke bawah atau mewakili 31.5 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Bagi mengatasi isu berkenaan, beliau menegaskan, semua pihak berkaitan perlu bekerjasama mencari penyelesaian terbaik demi kebaikan semua.

"Saya menyeru pemaju serta pihak berkuasa, termasuk kerajaan negeri, untuk terus bekerjasama dan memberi perhatian kepada data 'overhang' yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).

"Ia amat penting dalam menentukan projek yang akan dibangunkan adalah selari dengan permintaan, serta memastikan harga jualan munasabah kepada orang ramai," katanya.

Beliau turut menggesa pemaju supaya membangunkan projek berasaskan kajian kemungkinan, bukan sekadar bergantung pada spekulasi mengenai jangkaan pasaran harta tanah semata-mata.

Selain itu, Tengku Zafrul memaklumkan, status tidak terjual pangsapuri khidmat juga menunjukkan peningkatan dengan lebih 24,000 unit lebihan bernilai RM20.45 bilion pada 2021, iaitu naik 2.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Lebih 85 peratus daripada lebihan ini adalah bagi unit berharga RM500,000 dan ke atas, dengan majoriti di Johor," katanya.

Bagi sektor perdagangan, beliau berkata, segmen khususnya bagi pejabat binaan khas dan kompleks perniagaan, turut dibelenggu lebihan penawaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan semakin terkesan akibat penularan COVID-19.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/04/941326/pasaran-harta-tanah-negara-dijangka-pulih-2022-tengku-zafrul

 


>> Back to Article


Print