shopify analytics ecommerce
tracking

NAPIC jangka pasaran hartanah pulih semula pada 2022

05 Apr 2022

KUALA LUMPUR: Pasaran harta tanah dijangka pulih semula pada 2022 walaupun dalam persekitaran yang masih mencabar, menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), agensi di bawah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Fasa 'Peralihan ke Endemik' COVID-19 yang bermula 1 April 2022 bakal menyaksikan sekatan ke atas waktu operasi perniagaan ditarik balik dan pembukaan semula sempadan negara yang dijangka meningkatkan lagi aktiviti ekonomi domestik.

"Memandangkan ekonomi ditetapkan pada trajektori yang betul, prestasi pasaran harta tanah dijangka berada pada landasan yang sama.

"Dasar akomodatif, sokongan kerajaan yang berterusan, pelaksanaan semua langkah terancang yang digariskan dalam Bajet 2022 dan pelaksanaan strategi dan inisiatif yang betul di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dijangka menyokong pertumbuhan dalam sektor harta tanah," kata NAPIC dalam kenyataan sempena pelancaran Laporan Pasaran Harta 2021 hari ini.

Sementara itu, NAPIC berkata prestasi pasaran harta tanah merekodkan peningkatan kecil pada 2021 namun masih belum melepasi paras prapendemik yang dicatatkan sebelum 2020.

Sbanyak 300,497 transaksi bernilai RM144.87 bilion direkodkan pada 2021, menunjukkan peningkatan 1.5 peratus dalam bilangan dan 21.7 peratus dalam nilai berbanding 2020.

"Subsektor kediaman, perdagangan dan industri menunjukkan peningkatan dalam bilangan pindah milik dengan masing-masing pada 3.9 peratus, 10.7 peratus dan 17.6 peratus, manakala subsektor pertanian dan tanah pembangunan turun sedikit, masing-masing pada 7.5 peratus dan 7.4 peratus," katanya.

Nilai transaksi merekodkan peningkatan yang lebih tinggi bagi subsektor kediaman, perdagangan, industri dan tanah pembangunan, masing-masing pada 16.7 peratus, 43.1 peratus, 32.9 peratus dan 33.2 peratus manakala subsektor pertanian merekodkan penurunan pada 5.1 peratus.

Subsektor kediaman menerajui keseluruhan aktiviti pasaran harta tanah dengan sumbangan 66.2 peratus dalam bilangan.

"Terdapat 198,812 transaksi bernilai RM76.90 bilion direkodkan dalam tempoh kajian, peningkatan pada 3.9 peratus dalam bilangan dan 16.7 peratus dalam nilai bagi tahun ke tahun," katanya.

Selangor adalah penyumbang tertinggi dalam bilangan dan nilai kepada syer pasaran negara, dengan 24.5 peratus dalam bilangan (48,755 transaksi) dan 34.4 peratus dalam nilai (RM26.49 bilion).

"Kuala Lumpur merekodkan 11,129 transaksi, kedua tertinggi dalam nilai pada RM9.69 bilion meliputi 12.6 peratus daripada syer pasaran," katanya.

Bagaimanapun, pasaran utama menyaksikan pelancaran baharu yang lebih rendah iaitu hampir 44,000 unit yang dilancarkan pada 2021, berbanding 47,178 unit pada 2020.

Menurut NAPIC, penurunan itu telah dijangkakan kerana pemaju terpaksa menangguhkan pelancaran baharu berikutan pasaran harta tanah yang perlahan dan peningkatan bilangan dalam inventori tidak terjual.

"Prestasi jualan adalah sederhana iaitu 39.3 peratus pada 2021," katanya.

Situasi kediaman tidak terjual adalah kurang memberangsangkan yang berjumlah 37,000 unit bernilai RM22.79 bilion pada akhir tahun, masing-masing mencatatkan peningkatan 24.7 peratus dan 20.5 peratus dalam bilangan dan nilai berbanding 2020.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web napic.jpph.gov. – BERNAMA

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/04/941373/napic-jangka-pasaran-hartanah-pulih-semula-pada-2022

 

 


>> Back to Article


Print