shopify analytics ecommerce
tracking

KPKT iltizam tak susahkan rakyat dengan peraturan, SOP membebankan - Kor Ming

10 Jan 2023

PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memberi jaminan kementeriannya berazam memberi perkhidmatan asas terbaik kepada rakyat, tidak menyusahkan mereka dengan dasar, peraturan serta prosedur operasi standard (SOP) membebankan.

Katanya, azam itu antara misi Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan fokus kepada rakyat, termasuk menyediakan jalan raya rata, lampu jalan yang terang dan tandas serta longkang bersih.

Beliau berkata, kemudahan asas antara perkara dianggap remeh oleh sesetengah pihak, namun mampu membangkitkan kemarahan rakyat jika penyampaian perkhidmatan tidak dilaksanakan dengan baik.

"Contoh di sesetengah kawasan, mesin pembayaran penggunaan tempat letak kereta ditempatkan atas lot parkir itu sendiri dan ini menyusahkan pengguna untuk parkir kenderaan. Saya juga difahamkan ada pihak berkuasa tempatan (PBT) kenakan fi tidak munasabah bagi pembaharuan lesen anjing," katanya.

Berucap demikian pada Majlis Amanat Tahun Baharu KPKT 2023 secara hibrid hari ini, Kor Ming turut memaklumkan, kementerian akan mengambil langkah penjimatan dari segi penganjuran majlis besar-besaran dan mengelakkan keraian mewah.

Antara langkah penjimatan lain, beliau berkata, adalah meminimumkan penggunaan kertas dan elektrik serta merancang sebarang projek secara teliti bagi memastikan unjuran kewangan lebih tepat.

Katanya, KPKT memfokuskan tujuh bidang baharu untuk diketengahkan tahun ini, antaranya membangun dan memperkasa peranan kerajaan tempatan, membangunkan potensi PBT bagi menjana pendapatan tambahan negara dan perancangan perumahan lebih komprehensif serta berdaya saing.

"Kementerian juga fokus ke arah pemerkasaan komuniti tanpa mengira kaum, pengurusan sisa pepejal bersepadu lebih efektif dan efisyen bagi menghasilkan pelaksanaan ke arah ekonomi kitaran.

"Selain itu, memperkukuh agenda bandar mampan dan pintar ke arah perbandaran baharu dan memperkukuh kesiapsagaan kebombaan dan penyelamat yang sejahtera.

"Tujuh bidang fokus baharu ini juga antara misi utama KPKT bagi menyampaikan khidmat terbaik dan jadi kayu pengukur kepada kecekapan kerajaan tempatan dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya

Kor Ming memaklumkan, sebulan menerajui kementerian berkenaan, beliau melakukan beberapa lawatan spontan dan tinjauan bagi melihat sendiri penyelenggaraan PBT, khususnya tahap kebersihan tandas, pencahayaan kawasan awam, jalan raya serta longkang.

Beliau juga mengambil tindakan segera seperti menggesa PBT meningkatkan tahap kebersihan 18,000 tandas awam seluruh negara, menubuhkan pasukan petugas khas menyelesaikan 550 projek perumahan sakit dan lawatan ke kawasan tumpuan pelancong asing di Kuala Lumpur.

Menteri itu juga mengarahkan syarikat konsesi untuk melakukan pemantauan masalah sampah secara 24 jam, minta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mencari penyelesaian di 24 kawasan 'hotspot' banjir kilat di ibu kota serta tindak balas pantas ketika bencana tanah runtuh di Batang Kali, Selangor.

Selain itu, mengisi semua jawatan 39 presiden Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah dan Tribunal Pengurusan Strata serta bersama DBKL mengenal pasti 260 projek pembersihan dan pengindahan bernilai RM100 juta.

Kor Ming turut mengumumkan KPKT bakal memberikan anugerah kepada kakitangan menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan sebagai usaha menghargai serta mengiktiraf komitmen warga kerjanya, selain menyuntik semangat kerja agar lebih komprehensif kepada rakyat.

"Anugerah Kecemerlangan Menteri KPKT ini julung kali diberikan dan layak disertai kira-kira 20,000 warga kerja kementerian dari peringkat bawah hingga tertinggi. Ada sebanyak 12 kategori membabitkan individu dan pasukan dengan butirannya akan dimuat naik bermula akhir minggu ini.

"Saya jangka majlis penyampaian anugerah itu pada penghujung tahun ini. Satu jawatankuasa telah ditubuhkan bagi membuat penilaian mereka yang layak dengan hadiah-hadiah menarik, antaranya wang tunai, sijil penyertaan dan piala disediakan.

"Pemenang anugerah turut berpeluang mendapat kenaikan pangkat. Saya sendiri akan menyerahkan nama yang layak kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali bagi tujuan berkenaan” katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/01/1049529/kpkt-iltizam-tak-susahkan-rakyat-dengan-peraturan-sop-membebankan

 


>> Back to Article


Print