shopify analytics ecommerce
tracking

Pasaran hartanah catat lebih 399,000 transaksi, RM200 bilion tahun lalu

07 Mar 2024

KAJANG: Pasaran harta tanah negara pada tahun 2023 merekodkan lebih 399,000 transaksi dengan nilai hampir RM200 bilion, peningkatan 2.5 peratus dan 9.9 peratus dari segi bilangan dan nilai transaksi berbanding tahun 2022.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata selain itu, prestasi bagi jualan harta tanah kediaman siap dibina yang tidak terjual atau 'overhang' telah menurun kepada 26,000 unit dengan nilai RM17.7 bilion berbanding hampir 28,000 unit bernilai RM18.41 bilion pada tahun 2022.

"Penghunian purata Pejabat Binaan Khas direkodkan kekal 78.5 peratus sementara penghunian bagi Kompleks Perniagaan meningkat ke 77.4 peratus berbanding 75.4 peratus pada tahun 2022.

"Melangkah ke hadapan, sektor harta tanah negara dijangka akan meneruskan momentum pemulihan sekalipun berdepan cabaran ekonomi global.

"Kerajaan MADANI melalui Belanjawan 2024 terus menyediakan suntikan berterusan untuk pembangunan sektor harta tanah negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Laporan Pasaran Harta 2023 oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) di Institut Penilaian Negara (INSPEN) di sini, hari ini.

Dalam laporan itu, bilangan transaksi harta tanah juga mencatat pertumbuhan positif sebanyak 2.5 peratus kepada 399,008 pada tahun 2023, berbanding 389,107 tahun lalu.

Trend pertumbuhan positif itu didorong oleh peningkatan lebih tinggi nilai transaksi di semua subsektor iaitu kediaman (7.1 peratus), komersial (17.5 peratus), perindustrian (13.1 peratus), pertanian (4.6 peratus) dan tanah pembangunan dan lain-lain (13.8 peratus) berbanding tahun 2022.

Prestasi yang lebih rancak turut direkodkan bagi pelancaran baharu kediaman iaitu meningkat 4.4 peratus kepada 56,526 unit (2022: 54,118 unit) dengan prestasi jualan yang lebih baik sebanyak 40.4 peratus (2022: 36 peratus).

Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) berada pada 216.5 mata (RM467,144 seunit) dalam 2023 dengan pertumbuhan tahunan sederhana 3.2 peratus.

Semua negeri utama mencatat pertumbuhan tahunan yang positif masing-masing didahului oleh Johor (6.2 peratus), Pulau Pinang (3.8 peratus), Selangor (2.9 peratus) dan Kuala Lumpur (1.8 peratus).

www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2024/03/1220252/pasaran-hartanah-catat-lebih-399000-transaksi-rm200-bilion-tahun

 

 

 

 

 

 


>> Back to Article


Print