KPKT digesa tangani isu perumahan bandar elak golongan B40, M40 tertekan
19 Jan 2026KUALA LUMPUR: Pertubuhan Sewaan Kediaman Kebangsaan (NHRA) menggesa kerajaan terutamanya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) agar segera melaksanakan langkah menyeluruh menangani krisis sewaan dan kelemahan perancangan perumahan bandar.
Pengerusi NHRA, K Prakash, berkata ini kerana isu itu kini semakin menekan golongan B40 dan M40 terutama belia serta keluarga bandar.
Beliau berkata, isu perumahan bandar ketika ini bukan sekadar membabitkan kadar sewa yang tinggi tetapi turut berpunca daripada kegagalan perancangan infrastruktur dan penyediaan kemudahan asas yang menjejaskan kualiti hidup rakyat.
Katanya, NHRA mengenal pasti beberapa isu kritikal yang memerlukan tindakan segera pihak berwajib termasuk beban sewaan tinggi dalam kalangan golongan muda yang baru memasuki alam pekerjaan dengan sebahagian mereka terpaksa membelanjakan sehingga 40 hingga 50 peratus pendapatan bulanan untuk bayaran sewa.
"NHRA mencadangkan pelaksanaan Skim Bantuan Sewa Belia secara bersasar, selain memanfaatkan aset dan kuarters kerajaan yang terbiar untuk disewakan pada kadar mampu milik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Prakash berkata, kelewatan pelaksanaan Akta Sewaan Kediaman (RTA) juga terus mendedahkan penyewa kepada diskriminasi, kenaikan sewa tidak munasabah serta penahanan deposit tanpa alasan kukuh.
Beliau berkata, ketiadaan akta khusus menjejaskan perlindungan penyewa dan NHRA menggesa penubuhan segera Tribunal Sewaan Kediaman dan penetapan had maksimum deposit sewaan.
NHRA juga, katanya khuatir terhadap pembangunan bandar yang tidak lestari, apabila pembinaan perumahan terlalu menekankan kuantiti tanpa mengambil kira kapasiti kemudahan awam, sekali gus mewujudkan kawasan perumahan yang padat dan tidak selesa didiami.
"Setiap projek perumahan wajar diwajibkan menjalani penilaian impak sosial dan infrastruktur bagi memastikan pembangunan yang lebih seimbang dan berdaya huni.
"Isu kesesakan jalan raya turut menjadi perhatian, apabila pertambahan rumah tidak seiring dengan pelebaran jalan serta penyediaan pengangkutan awam yang mencukupi.
"Sehubungan itu, NHRA mencadangkan pemaju diwajibkan menyumbang kepada naik taraf jalan raya dan memastikan integrasi projek perumahan dengan sistem pengangkutan awam.
"Selain itu kekurangan fasiliti kesihatan dan pendidikan di kawasan bandar berketumpatan tinggi turut menjadi isu," katanya.
https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2026/01/1497633/kpkt-digesa-tangani-isu-perumahan-bandar-elak-golongan-b40-m40
>> Back to Article