Bank kini lebih 'memilih', fokus hartanah mewah, peminjam pendapatan tinggihttps://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2026/02/1506063/bank-kini-lebih-memilih-fokus-hartanah-mewah-peminjam-pendapatan
10 Feb 2026KUALA LUMPUR: Institusi perbankan negara kini dilihat mengubah strategi pembiayaan mereka dengan lebih menumpukan kepada hartanah dalam kategori harga lebih tinggi, satu langkah yang disifatkan sebagai usaha menyasarkan peminjam berpendapatan tinggi dengan risiko kredit lebih rendah.
Menurut nota penyelidikan CIMB Securities, walaupun pertumbuhan pinjaman isi rumah secara keseluruhan semakin perlahan, terdapat peningkatan ketara dalam pembiayaan untuk hartanah bernilai RM500,000 ke atas.
Penganalisis CIMB Securities, Ei Leen Tan, berkata pertumbuhan pinjaman sektor isi rumah kini berada pada trajektori menurun, jatuh daripada 6.0 peratus pada Disember 2024 kepada 5.3 peratus pada Disember 2025.
Penurunan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh kelembapan ketara dalam pertumbuhan gadai janji kediaman.
Namun, di sebalik kelembapan itu, bank dilihat lebih agresif membiayai hartanah mewah.
"Secara khususnya, bank telah mengalihkan pembiayaan ke arah hartanah kediaman dalam kumpulan harga yang lebih tinggi iaitu RM500,000 hingga RM1 juta yang meningkat 8.1 peratus tahun ke tahun (YoY).
"Bagi hartanah melebihi RM1 juta pula, ia meningkat 5.5 peratus YoY, disokong oleh peminjam berpendapatan tinggi yang berkemungkinan mempunyai risiko kredit yang lebih rendah," katanya dalam laporan tinjauan sektor perbankan itu.
Perkembangan ini memberi isyarat bahawa akses pembiayaan bagi perumahan mampu milik mungkin menjadi lebih mencabar berbanding segmen mewah.
Dalam pada itu, laporan berkenaan turut menyentuh mengenai kualiti aset, di mana terdapat sedikit tekanan dalam segmen pinjaman automotif dan kad kredit walaupun kualiti aset keseluruhan sistem perbankan kekal baik.
Menurut CIMB Securities, pinjaman terjejas kasar (GIL) bagi segmen automotif telah meningkat sebanyak 19.5 peratus YoY, manakala GIL bagi kad kredit tidak bercagar naik 10.6 peratus.
"Walaupun GIL segmen automotif semakin meningkat, nisbah GIL segmen itu pada Disember 2025 kekal terkawal pada 0.58 peratus.
"Sementara itu, GIL kad kredit tidak bercagar meningkat 10.6 peratus YoY pada Disember 2025, dengan nisbah GIL yang masih boleh urus pada 0.88 peratus," jelas laporan itu.
CIMB Securities mengekalkan saranan 'Overweight' terhadap sektor perbankan dengan Public Bank Bhd, Maybank dan Affin Bank Bhd menjadi pilihan utama pendedahan sektor semasa.
https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2026/02/1506063/bank-kini-lebih-memilih-fokus-hartanah-mewah-peminjam-pendapatan
>> Back to Article