shopify analytics ecommerce
tracking

Pemaju hartanah terasa bahang ketidaktentuan geopolitik global - REHDA

16 Mar 2026

PETALING JAYA: Ketidaktentuan geopolitik global berpotensi memberi tekanan kepada sektor pembangunan hartanah dan pembinaan di Malaysia, khususnya dari segi kos bahan binaan, logistik serta perancangan keseluruhan projek.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA), Datuk Ir Ho Hon Sang, berkata tinjauan pantas yang dilaksanakan pihaknya mendapati majoriti pemaju menjangkakan konflik geopolitik yang berterusan di peringkat global akan memberi kesan sekurang-kurangnya pada tahap sederhana kepada industri.

Beliau berkata, 42.6 peratus responden menjangkakan impak sederhana terhadap sektor pembangunan hartanah dan pembinaan, manakala 29.6 peratus melihat kemungkinan kesan yang signifikan.

Menurutnya, 11.1 peratus pula menjangkakan kesan kecil, 3.7 peratus tidak menjangka sebarang impak, manakala 13 peratus berpendapat masih terlalu awal untuk menilai kesannya.

"Perkembangan geopolitik global boleh mempengaruhi rantaian bekalan dan kos bahan mentah di peringkat antarabangsa, sekali gus memberi kesan kepada kos pembangunan projek hartanah di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media Tinjauan Sentimen Industri Hartanah REHDA (PSS) dan Tinjauan Industri Hartanah (PIS) bagi Separuh Kedua 2025 serta Tinjauan Pasaran 2026 di sini, hari ini.

Hon Sang berkata, walaupun kesannya mungkin tidak berlaku secara langsung dalam tempoh terdekat, ketegangan geopolitik berpotensi memberi tekanan kepada kos bahan binaan, kos logistik serta tempoh penghantaran bahan dan peralatan yang diimport.

"Namun industri berharap ketegangan global tidak meningkat kerana kesannya boleh dirasai oleh banyak sektor ekonomi, termasuk industri perumahan. Masih terlalu awal untuk kita melihat kesannya dan tinjauan ini hanya pendapat awal pemaju.

"Jika konflik geopolitik meningkat sehingga membabitkan lebih banyak negara, kesannya tetap akan dirasai walaupun Malaysia berada jauh dari lokasi konflik.

"Kos tenaga boleh meningkat dan rantaian bekalan bahan tertentu yang melalui laluan perdagangan antarabangsa juga berpotensi terganggu," katanya.

Beliau menambah, faktor luaran seperti geopolitik sukar dikawal, justeru industri perlu memberi tumpuan kepada pengurusan dalaman yang lebih cekap bagi mengharungi tempoh ketidaktentuan.

Menurutnya, REHDA akan terus memantau perkembangan global dan sekiranya terdapat isu yang memberi kesan kepada industri perumahan, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menyalurkan maklum balas serta cadangan kepada kerajaan.

"Pada peringkat syarikat pula, pemaju perlu lebih berhati-hati dalam mengurus struktur kos dan perbelanjaan, selain memastikan operasi syarikat dikendalikan secara lebih cekap.

"Dalam situasi krisis, aliran tunai adalah paling penting. Keuntungan mungkin datang kemudian, tetapi keupayaan mengekalkan aliran tunai akan menentukan kemampuan syarikat untuk terus beroperasi," katanya.

Hon Sang berkata, pemain industri juga perlu meningkatkan produktiviti dan mengoptimumkan sumber sedia ada bagi memastikan projek pembangunan dapat diteruskan walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

"Kita berharap ketegangan geopolitik ini akan reda dan konflik yang berlaku di peringkat global dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya.

Menurut tinjauan REHDA, harga dan ketersediaan bahan binaan dikenal pasti sebagai aspek paling berisiko terjejas, diikuti kos penghantaran dan logistik, harga tender kontraktor, serta kos sistem dan peralatan bangunan yang diimport.

Selain itu, pemaju turut menjangkakan kemungkinan kesan terhadap tempoh penghantaran bahan import, perancangan kos keseluruhan pembangunan serta ketersediaan komponen pembinaan khusus.

Majoriti responden juga berpandangan ketegangan geopolitik boleh memberi tekanan kepada harga atau bekalan bahan binaan.

Sebanyak 38.2 peratus menjangkakan impak sederhana, manakala 37.4 peratus melihat kemungkinan impak signifikan terhadap harga atau bekalan bahan tersebut.

Antara bahan yang dijangka paling terkesan ialah keluli dan besi tetulang, diikuti komponen bangunan import, produk aluminium dan logam, peralatan mekanikal dan elektrik, serta bahan berkaitan simen dan konkrit.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2026/03/1520880/pemaju-hartanah-terasa-bahang-ketidaktentuan-geopolitik-global-rehda

 

 


>> Back to Article


Print