shopify analytics ecommerce
tracking

Sektor hartanah berpotensi merosot dengan lonjakan harga minyak - MBSB IB

25 Mar 2026

KUALA LUMPUR: Sektor hartanah Malaysia berpotensi berdepan penurunan sederhana sekiranya harga minyak kekal tinggi, berikutan peningkatan kos bahan api yang mendorong kenaikan kos pengangkutan serta kos pembinaan, demikian menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).

Dalam satu nota penyelidikan, bank pelaburan itu berkata meskipun syarikat hartanah tempatan tidak terdedah secara langsung kepada ketegangan geopolitik di Asia Barat, lonjakan harga minyak dijangka memberi kesan tidak langsung kepada sektor berkenaan.

"Kenaikan harga minyak akan meningkatkan kos sara hidup dan mengurangkan pendapatan boleh guna, sekali gus menjejaskan kemampuan serta minat pembeli terhadap hartanah," katanya.

Dalam perkembangan lain, MBSB IB turut menjangkakan lebihan hartanah yang tidak terjual akan menjadi kebimbangan utama sektor ini, manakala kenaikan harga minyak boleh memperlahankan pertumbuhan permintaan hartanah.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), unit kediaman siap yang tidak terjual meningkat untuk suku kelima berturut-turut kepada 30,471 unit pada suku keempat 2025 berbanding 28,672 unit pada suku ketiga 2024, iaitu peningkatan sebanyak 1,799 unit.

Lebihan penawaran hartanah kediaman telah melepasi paras 30,000 unit, menjadikannya pada tahap tertinggi sejak suku ketiga 2022.

Lima negeri teratas dengan lebihan hartanah kediaman tertinggi dicatatkan di Perak (3,943 unit), Johor (3,705 unit), Selangor (3,547 unit), Pulau Pinang (2,775 unit) dan Negeri Sembilan (2,647 unit).

Peningkatan lebihan hartanah pada suku keempat 2025 terutamanya disumbangkan oleh kenaikan di Selangor (790 unit), Perak (643 unit), Negeri Sembilan (442 unit) dan Johor (412 unit).

Perlu diperhatikan bahawa 65.2 peratus daripada lebihan hartanah kediaman terdiri daripada hartanah berharga di bawah RM500,000.

Sementara itu, lebihan apartmen servis meningkat kepada 18,752 unit pada suku keempat 2025 daripada 17,892 unit pada suku ketiga 2025, yang kebanyakannya disumbangkan oleh peningkatan di Johor (459 unit), Selangor (378 unit) dan Negeri Sembilan (309 unit).

Secara keseluruhan, peningkatan lebihan hartanah kediaman dan apartmen servis ini dilihat sebagai situasi yang membimbangkan kerana unit siap yang tidak terjual di negeri-negeri utama seperti Selangor dan Johor semakin meningkat.

Peningkatan unit siap kediaman yang tidak terjual boleh menyebabkan harga hartanah menjadi mendatar, yang tidak memberi petanda baik kepada sektor hartanah.

Bagaimanapun, MBSB IB berkata prospek jangka terdekat kekal positif dengan permintaan dijangka stabil, disokong oleh projek pemangkin seperti Sistem Transit Rapid Johor Bahru–Singapura (RTS) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Sementara itu, permohonan pinjaman dijangka lebih lemah pada Februari 2026 berikutan musim perayaan, namun minat pembelian bagi keseluruhan tahun 2026 masih diunjurkan mencatat pertumbuhan sederhana, menurut MBSB IB.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2026/03/1522944/sektor-hartanah-berpotensi-merosot-dengan-lonjakan-harga-minyak-mbsb


>> Back to Article


Print