REHDA sokong klausa 'Pilihan untuk Membeli' lindungi pembeli rumah
21 May 2026KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Malaysia menyokong cadangan memperkenalkan klausa 'Pilihan untuk Membeli' (OTP) di bawah Akta Pembangunan Hartanah.
Presiden REHDA, Datuk Ho Hon Sang, berkata persatuan mengalu-alukan cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming untuk memasukkan klausa berkenaan dalam rang undang-undang yang bertujuan menggantikan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118).
"Walaupun mekanisme itu masih belum dimuktamadkan dan masih terdapat banyak ketidakpastian mengenai klausa itu, pada prinsipnya, mekanisme OTP memberi manfaat dalam melindungi bakal pembeli rumah yang berhasrat membeli unit kediaman tertentu.
"Pada masa sama, ia memberi peluang kepada mereka untuk mempertimbangkan semula keputusan pembelian sekiranya keadaan berubah," katanya dalam satu kenyataan.
Di bawah mekanisme yang dicadangkan itu, kedua-dua pembeli dan pemaju mempunyai pilihan untuk menarik diri daripada transaksi sebelum Perjanjian Jual Beli (SPA) ditandatangani.
Klausa itu memberi fleksibiliti kepada pembeli untuk membatalkan pembelian sekiranya keadaan mereka berubah atau mereka berubah fikiran mengenai hartanah terbabit.
Pemaju juga diberi fleksibiliti untuk menarik diri daripada projek yang mungkin tidak lagi berdaya maju dari segi komersial atau kewangan.
Hong Sang menambah bahawa pemaju juga boleh menggunakan mekanisme OTP untuk menilai minat pasaran yang sebenar daripada bakal pembeli sebelum menandatangani komitmen mengikat dan sebelum pembinaan dimulakan.
"Kami berharap kerajaan khususnya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan terus melibatkan pemain industri, termasuk REHDA, bagi memuktamadkan butiran serta rangka kerja mekanisme OTP.
"Walau bagaimanapun, klausa itu mestilah jelas, praktikal dan adil dalam melindungi kepentingan kedua-dua pembeli dan pemaju," katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa pengenalan OTP berpotensi menyediakan penyelesaian praktikal kepada isu seperti projek perumahan terbengkalai.
"Pengenalan OTP juga berpotensi menyediakan penyelesaian praktikal kepada pelbagai isu yang dihadapi kedua-dua pihak, termasuk kebimbangan berkaitan projek perumahan terbengkalai, seperti yang disebut oleh menteri semasa pengumumannya," katanya.
https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2026/05/1552117/rehda-sokong-klausa-pilihan-untuk-membeli-lindungi-pembeli-rumah
>> Back to Article