shopify analytics ecommerce
tracking

Lambakan rumah tidak terjual cecah RM16.37 bilion pada suku pertama.

04 Jun 2026

KUALA LUMPUR: Prestasi kediaman siap dibina tidak terjual terus membayangi pasaran hartanah negara apabila 32,801 unit masih gagal dijual dengan nilai mencecah RM16.37 bilion pada suku pertama 2026, meskipun pasaran keseluruhan kekal bergerak dalam keadaan sederhana.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan 7.6 peratus dari segi bilangan berbanding suku sebelumnya sebanyak 30,471 unit, namun nilainya susut dari RM17.73 bilion atau 7.7 peratus, sekali gus menggambarkan tekanan berterusan terhadap segmen kediaman tertentu terutama dalam keadaan pembeli semakin berhati-hati membuat komitmen besar.

Laporan Pasaran Harta Suku Tahun Pertama 2026 oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) menunjukkan beberapa negeri terus merekodkan lambakan unit siap dibina tidak terjual yang tinggi, namun trend itu berbeza mengikut tahap permintaan dan kemampuan pasaran setempat.

Perbezaan prestasi antara negeri turut dipengaruhi faktor pembangunan baharu, lokasi projek serta jenis kediaman yang dibina, termasuk unit bertingkat tinggi dan rumah dalam kategori harga premium.

Berdasarkan data JPPH, Perak menerajui carta kediaman siap dibina tidak terjual dengan 4,063 unit, diikuti Johor (3,852 unit), Selangor (3,745 unit) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (3,733 unit).

Dari segi jenis kediaman, unit bertingkat tinggi terus mendominasi jumlah rumah siap dibina tidak terjual berbanding rumah bertanah.

Situasi itu mencerminkan cabaran penyerapan pasaran terutama bagi pembangunan berketumpatan tinggi di kawasan bandar yang sebelum ini berkembang agresif.

Mengikut julat harga pula, rumah berharga RM300,000 ke bawah terus menunjukkan permintaan lebih stabil kerana lebih hampir dengan kemampuan majoriti pembeli rumah pertama.

Segmen itu dilihat lebih berdaya tahan berbanding kediaman dalam kategori harga lebih tinggi yang berdepan kadar penjualan lebih perlahan.

Rumah dalam julat harga melebihi RM500,000 khususnya terus mencatat tekanan apabila pembeli lebih berhati-hati membuat komitmen kewangan jangka panjang.

Selain faktor ekonomi semasa, perubahan corak pembelian turut menyebabkan pengguna lebih selektif dengan memberi keutamaan terhadap lokasi strategik, akses pengangkutan dan kemudahan sekitar.

Tempoh pelancaran projek turut memberi kesan terhadap jumlah kediaman tidak terjual apabila sebahagian unit yang masih berada dalam pasaran adalah projek yang telah lama siap dibina.

Dalam perkembangan berkaitan, subsektor pangsapuri khidmat siap dibina tidak terjual turut meningkat kepada 19,263 unit bernilai RM16.52 bilion pada suku pertama 2026.

Jumlah itu lebih tinggi berbanding 18,752 unit bernilai RM15.42 bilion yang direkodkan pada suku keempat tahun lalu.

Peningkatan berterusan dalam subsektor itu memperlihatkan pasaran pangsapuri khidmat masih berdepan cabaran penyerapan terutama di lokasi yang mempunyai penawaran tinggi.

Laporan sama turut menunjukkan bilangan unit belum dibina belum terjual dan dalam pembinaan belum terjual masih menjadi sebahagian daripada landskap keseluruhan pasaran kediaman semasa.

Keadaan itu memperlihatkan pemaju kini lebih berhati-hati dalam merancang pelancaran baharu bagi mengelakkan pertambahan stok tidak terjual dalam pasaran.

Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Sr Abdul Razak Yusak, berkata hampir 60 peratus pangsapuri khidmat berharga melebihi RM500,000 hingga RM1 juta mendominasi keseluruhan unit siap tidak terjual.

"Lebih 70 peratus unit pangsapuri khidmat tidak terjual terdiri dari projek yang telah dilancarkan dalam tempoh enam hingga 10 tahun," katanya ketika mengumumkan Laporan Pasaran Harta Suku Tahun Pertama 2026 yang disiarkan di laman Facebook rasmi JPPH, hari ini.

Berdasarkan data JPPH, pangsapuri khidmat siap dibina tidak terjual tertinggi dicatatkan di Johor dengan 9,972 unit, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (4,181 unit) dan Selangor (2,407 unit).

Sementara itu, segmen pelancaran baharu kediaman sendiri menunjukkan prestasi sederhana apabila jumlah unit dilancarkan menyusut kepada 9,112 unit dengan prestasi jualan 11.5 peratus berbanding suku pertama 2025.

Secara keseluruhan, prestasi transaksi harta tanah negara pada suku pertama 2026 menyusut lapan peratus kepada 89,966 transaksi berbanding tempoh sama tahun lalu.

Nilai transaksi turut mencatat penurunan marginal 0.6 peratus kepada RM51.09 bilion berbanding suku pertama 2025.

Abdul Razak berkata, momentum pertumbuhan transaksi harta tanah pada suku pertama tahun ini masih berkembang pada kadar sederhana dan kekal terkawal.

Beliau berkata, walaupun trajektori aktiviti pembinaan mula perlahan, prestasi pembinaan di peringkat siap dibina bagi harta tanah kediaman dan kedai terus menunjukkan pertumbuhan positif.

"Aktiviti pasaran yang kekal berdaya tahan itu mencerminkan keyakinan industri terhadap momentum penstrukturan semula ekonomi negara menerusi kerangka Ekonomi MADANI walaupun berdepan cabaran ketidaktentuan ekonomi global," katanya.

Dalam perkembangan lain, Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) mencatat pertumbuhan positif 1.7 peratus dengan berada pada paras 235.2 mata dan harga purata RM507,533 seunit.

Semua negeri merekodkan pertumbuhan positif antara 0.3 peratus hingga 7.2 peratus kecuali Negeri Sembilan dan Sabah yang masing-masing menguncup 0.2 peratus dan 2.3 peratus, manakala Perak kekal stabil.

Mengikut jenis rumah, rumah teres dan rumah berkembar mendahului peningkatan dengan masing-masing mencatat pertumbuhan 2.2 peratus.

Unit bertingkat tinggi pula meningkat 1.3 peratus, manakala rumah sesebuah merekodkan penurunan kecil sebanyak 0.7 peratus.

Segmen pelancaran baharu kediaman turut menunjukkan prestasi sederhana apabila menyusut kepada 9,112 unit dengan prestasi jualan 11.5 peratus berbanding suku pertama tahun lalu.

Bagi subsektor pangsapuri khidmat siap dibina tidak terjual, jumlahnya meningkat kepada 19,263 unit bernilai RM16.52 bilion berbanding 18,752 unit bernilai RM15.42 bilion pada suku keempat 2025.

Di segmen komersial pula, kadar penghunian kompleks perniagaan kekal pada 79 peratus, manakala kadar penghunian pejabat binaan khas milik swasta meningkat sedikit kepada 72.3 peratus berbanding 72 peratus pada tempoh sama tahun lalu.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2026/05/1553964/lambakan-rumah-tidak-terjual-cecah-rm1637-bilion-pada-suku-pertama

 


>> Back to Article


Print