Permohonan pinjaman hartanah naik 2.5 peratus, kelulusan hanya 1.2 peratus
29 Sep 2026KUALA LUMPUR: Permohonan pinjaman bagi pembelian hartanah meningkat 2.5 peratus kepada RM319.6 bilion dalam separuh pertama 2026, namun nilai pinjaman yang diluluskan berkembang lebih sederhana sebanyak 1.2 peratus kepada RM134.9 bilion, demikian menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, minat terhadap pembelian hartanah secara keseluruhan kekal relatif stabil, walaupun permintaan terus berdepan tekanan daripada persekitaran kos semasa.
Pada Jun 2026, jumlah permohonan pinjaman bagi pembelian hartanah hampir tidak berubah pada RM56.6 bilion, meningkat 0.1 peratus berbanding bulan sebelumnya selepas susut 10.1 peratus pada Mei.
Namun, secara tahunan, jumlah permohonan pada Jun meningkat 7.8 peratus, berbanding pertumbuhan kecil 0.3 peratus pada Mei.
MBSB Research berkata, prestasi pada Jun menunjukkan sentimen pembelian masih agak berhati-hati, dengan angka Mei yang lebih rendah berkemungkinan dipengaruhi cuti umum.
Firma itu menjangkakan tekanan inflasi akan memberi sedikit kesan terhadap sentimen pembelian hartanah, meskipun minat keseluruhan terhadap pasaran berkenaan kekal relatif stabil.
Sementara itu, nilai pinjaman yang diluluskan bagi pembelian hartanah pada Jun juga hampir mendatar pada RM24.1 bilion, meningkat 0.1 peratus berbanding Mei selepas susut 10.8 peratus pada bulan sebelumnya.
Untuk tahunan, nilai pinjaman yang diluluskan pada Jun meningkat 7.8 peratus, didorong terutama oleh jumlah permohonan pinjaman yang lebih tinggi, manakala nisbah kelulusan kekal tidak berubah pada 42.5 peratus.
Secara kumulatif bagi separuh pertama 2026, jumlah pinjaman diluluskan meningkat sederhana kepada RM134.9 bilion, atau 1.2 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu. MBSB Research berkata keadaan itu menunjukkan prospek jualan baharu pemaju secara umumnya dijangka kekal stabil.
Dalam perkembangan berkaitan, MBSB Research menjangkakan prestasi keuntungan pemaju pada suku kedua 2026 bertambah baik berbanding suku pertama, selepas pengebilan kemajuan projek terjejas akibat musim perayaan.
Jualan hartanah baharu juga dijangka meningkat pada suku kedua selepas mencatat prestasi lebih lemah pada suku pertama disebabkan musim perayaan.
Menurut firma itu, pemulihan jualan dan pengebilan kemajuan berkenaan sepatutnya memberikan gambaran lebih baik terhadap pendapatan masa depan serta menyokong prestasi keseluruhan pemaju.
Bagaimanapun, MBSB Research kekal berhati-hati terhadap prospek pendapatan pemaju bagi 2026 kerana tekanan kos dijangka lebih ketara dalam beberapa suku akan datang.
Kos pembinaan dan operasi yang lebih tinggi berpotensi memberi tekanan kepada margin, walaupun sebahagian kesannya boleh diimbangi oleh jualan lebih baik serta peningkatan pengebilan kemajuan.
Secara keseluruhan, firma itu menjangkakan pertumbuhan keuntungan pemaju hartanah pada 2026 lebih sederhana.
Susulan itu, MBSB Research mengekalkan pandangan Neutral terhadap sektor hartanah berikutan pemangkin jangka pendek yang terhad.
Firma itu menjangkakan pendapatan pemaju kekal stabil, walaupun peningkatan kos boleh memberi sedikit tekanan kepada margin, manakala sentimen pembelian berkemungkinan sedikit terjejas berikutan peningkatan kos sara hidup.
Bagi keseluruhan 2026, MBSB Research menjangkakan pendapatan pemaju secara umumnya mendatar walaupun prestasi suku kedua dijangka bertambah baik secara berjujukan.
Dalam kalangan syarikat hartanah yang diliputinya, MBSB Research memilih Matrix Concepts Holdings Bhd, IOI Properties Group Bhd dan Mah Sing Group Bhd sebagai pilihan utama sektor, masing-masing dengan saranan Beli dan harga sasaran RM1.55, RM4.64 serta RM1.25.
Matrix Concepts dilihat mempunyai prospek pemulihan pendapatan pada tahun kewangan 2027, selain penilaian menarik dan hasil dividen FY27 sebanyak 6.1 peratus.
IOI Properties pula dilihat berpotensi membuka nilai daripada bank tanahnya melalui usaha pengewangan aset bukan teras, manakala cadangan penyenaraian IOIPG REIT boleh mengukuhkan kedudukan kunci kira-kira dan memberikan fleksibiliti kewangan tambahan.
Mah Sing pula menjadi pilihan MBSB Research berikutan tumpuannya terhadap perumahan mampu milik yang dijangka menyokong jualan baharu dan prospek pendapatan, selain potensi penjualan tanah yang boleh membuka nilai daripada simpanan tanahnya.
https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2026/08/1605745/permohonan-pinjaman-hartanah-naik-25-peratus-kelulusan-hanya-12
>> Back to Article