shopify analytics ecommerce
tracking

Tajuk Berita : Nilai transaksi pasaran hartanah melonjak kepada RM56.53 bilion

20 May 2024

KUALA LUMPUR: Prestasi pasaran hartanah di Malaysia terus mengukuh pada suku pertama 2024 dengan bilangan dan nilai transaksi masing-masing melonjak sebanyak 17.2 peratus dan 34.3 peratus kepada 104,297 transaksi bernilai RM56.53 bilion.Pada suku sama tahun lalu, pasaran hartanah tempatan merekodkan sebanyak 89,024 transaksi bernilai RM42.11 bilion.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata sebagai salah satu enjin induk pertumbuhan ekonomi negara, pengukuhan industri hartanah pada suku pertama ini membuka pintu kepada banyak perkara.

Beliau berkata, ia memberi keyakinan bahawa Malaysia berada pada landasan yang betul bagi mencapai pertumbuhan kukuh untuk 2024.Malah, katanya ia adalah isyarat awal kejayaan transformasi negara seperti ditetapkan dalam kerangka Ekonomi MADANI.

"Kerajaan berharap perancangan ekonomi yang mengimbangkan projek-projek pemangkin dengan pembangunan inklusif akan mendorong perkembangan pasaran hartanah bagi jangka masa panjang," katanya dalam satu kenyataan selepas taklimat media Laporan Pasaran Harta Suku Pertama 2024 Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) secara maya hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta JPPH, Abdul Razak Yusak, berkata pengukuhan pasaran hartanah pada suku dikaji didorong oleh peningkatan ketara transaksi di semua subsektor.

Beliau berkata, subsektor komersial merekodkan pertumbuhan sebanyak 33.4 peratus, kediaman (16.6 peratus), industri (14.3 peratus), pertanian (13.7 peratus) dan tanah pembangunan serta lain-lain pada 10.7 peratus.

Katanya, subsektor kediaman terus mendominasi hampir 60 peratus aktiviti pasaran hartanah, dengan lebih 62,000 transaksi bernilai melebihi RM25 bilion."Kediaman berharga RM300,000 dan ke bawah masih menguasai pasaran, dengan 33,500 bilangan transaksi direkodkan iaitu melebihi 50 peratus daripada jumlah transaksi.

"Sokongan berterusan kerajaan seperti pemanjangan tempoh pengecualian duti setem dokumen pindah milik bagi pembelian rumah pertama bernilai RM500,000 ke bawah sehingga Disember 2025 menjadi pemangkin pasaran hartanah yang lebih kukuh," katanya.

Abdul Razak berkata, walaupun prestasi pasaran hartanah semakin bertambah baik, namun masih ada risiko cabaran ekonomi global dan persekitaran luaran yang sukar diramal.Justeru, beliau berkata kerajaan MADANI memperkenalkan beberapa ikhtiar serta projek pemangkin untuk memacu ekonomi tempatan, sekaligus merangsangkan pengembangan pasaran hartanah.

Katanya, ini termasuk menambahbaik fleksibiliti syarat permohonan bagi program Malaysia My Second Home (MM2H), membangunkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan mewujudkan Zon Kewangan Khas di Forest City.

"Selain itu, terdapat juga langkah menyokong permintaan hartanah melalui perkembangan positif pembangunan seperti projek Rapid Transit Link (RTS) di Johor, projek perindustrian utama di wilayah utara, projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak serta Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2024/05/1247215/nilai-transaksi-pasaran-hartanah-melonjak-kepada-rm5653-bilion

 


>> Back to News


Print