shopify analytics ecommerce
tracking

KPKT kawal harga rumah mampu milik

25 Jun 2024

CYBERJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memastikan harga rumah mampu milik tidak dinaikkan susulan penyasaran subsidi diesel yang berkuat kuasa 10 Jun lalu.

Timbalan Menteri, Datuk Aiman Athirah Sabu, berkata kediaman yang tertakluk di bawah Dasar Perumahan Mampu Milik (DRMM) dan dikawal KPKT, dijual pada harga RM300,000 ke bawah, akan dipastikan kekal pada kadar berkenaan.

Ia termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), Program Rumah Mesra Rakyat (RMR), kediaman di bawah Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dan Program Perumahan PR1MA.

"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memantau, termasuk rumah mampu milik dibina di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara yang juga dikawal di bawah KPKT.

"Ia termasuk kediaman PPR, RMR, di bawah Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dan Program Perumahan PR1MA yang dijual bawah harga RM300,000, selagi dasar itu tidak diubah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Korban Sentuhan Kasih Parlimen Sepang dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta KPKT, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib dan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad. Sebanyak 33 lembu dikorbankan pada program itu untuk diagihkan kepada asnaf di kawasan Sepang dan golongan memerlukan.

Aiman Athirah yang juga Ahli Parlimen Sepang, berkata kenaikan harga rumah bergantung kepada bentuk kediaman yang dibina dan dijual secara terbuka oleh pemaju, bukannya projek perumahan di bawah kawalan KPKT yang bergantung kepada penawaran dan pembelian.

"Bagi rumah yang pembinaannya sudah diluluskan, ia terikat dengan perjanjian jual beli dan tidak boleh diubah. Sekiranya ada kenaikan harga rumah mampu milik, pemaju perlu kemukakan permohonan kepada kerajaan dan setakat ini memang kita kawal harga rumah terbabit," katanya

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/06/1260862/kpkt-kawal-harga-rumah-mampu-milik

 


>> Back to News


Print