shopify analytics ecommerce
tracking

Kekalkan ciri tempatan dalam pembangunan moden - Anwar

04 Jul 2024

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak boleh kehilangan identiti dan budaya dalam usaha pembangunan negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, negara terdiri daripada kaum yang berbeza dan akan menjadi sesuatu memalukan, jika tidak mengambil kira perkara itu.

"Arkitek kita dilatih di Barat. Saya gembira mengetahui mereka lebih sinonim dan komited untuk menunjukkan bahawa apa yang kami tunjukkan bukan sekadar hutan konkrit.

"Ia perlu mempunyai perwatakan, budaya dalam konteks Malaysia, Orang Asli, Melayu, Cina, India dan sebahagian daripada komuniti kita.

"Jika anda melihat ke luar Sabah dan Sarawak, anda akan melihat gabungan budaya yang hebat. Memalukan jika kita tidak mengambil kira ciri ini," katanya ketika merasmikan Sidang Meja Bulat Menteri ASEAN-China mengenai Pembinaan dan Perumahan (ACMROCH) 2024.

Bersempena ACMROCH 2024, Pameran Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman dan Bangunan Antarabangsa (ARCHIDEX) 2024 ke-23 juga diunjurkan diadakan sehingga Sabtu ini.

ARCHIDEX menawarkan pelbagai tema pameran yang disesuaikan dengan keperluan industri, termasuk teknologi audiovisual dan pencahayaan, Model Bangunan Bermaklumat (BIM) & Sistem Binaan Berindustri (IBS), bahan binaan serta landskap.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata saranan Perdana Menteri berhubung identi dan budaya Malaysia dalam pembangunan akan disokong penuh oleh kementerian itu.

"Kami akan melaksanakan seruan ini dengan lebih komited. Malah, banyak bangunan di Malaysia mengetengahkan seni bina budaya Malaysia yang pelbagai.

"Justeru, kita akan bekerjasama dengan Persatuan Arkitek Malaysia (PAM) bagi meningkatkan lagi komitmen pembinaan yang menonjolkan budaya Malaysia," katanya.

Selain itu, Kor Ming berkata, kementerian itu komited untuk melaksanakan pembaharuan yang diperlukan untuk memastikan pertumbuhan masa depan adalah mampan dan menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan.

"Kita boleh melakukan ini dengan menyepadukan amalan mampan sebagai sebahagian daripada cara kita menjalankan perniagaan.

"Ini akan meningkatkan kecekapan operasi, memenuhi keperluan kawal selia dan bertindak balas dengan cepat kepada permintaan yang semakin meningkat daripada rakyat kita," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/07/1266587/kekalkan-ciri-tempatan-dalam-pembangunan-moden-anwar

 


>> Back to News


Print