shopify analytics ecommerce
tracking

2 pemaju menang rayuan berhubung kelewatan serahan milikan kosong

01 Aug 2024

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan rayuan dua pemaju perumahan yang disaman pembeli rumah berhubung kelewatan menyerahkan milikan kosong.

Panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dalam penghakiman penting, memutuskan pembeli rumah tidak lagi boleh membuat tuntutan terhadap pemaju bagi hartanah yang menerima tempoh lanjutan masa (EOT) sebelum tahun 2020.

Dalam keputusan sebulat suara itu, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim yang membacakan penghakiman berkata mahkamah berpendapat saman pembeli rumah untuk mendapatkan ganti rugi yang ditentukan secara kontrak (LAD) adalah jelas tidak mampan dan harus dibatalkan.

Pada tahun 2020, Obata-Ambak Holdings Sdn Bhd memfailkan tuntutan dengan mendakwa bahawa tempoh 54 bulan yang ditetapkan adalah terbatal dan tidak sah berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Ang Ming Lee & 34 yang lain lawan kementerian perumahan dan kerajaan tempatan."

Panel memutuskan bahawa saman oleh Obata-Ambak Holdings , K Vignesh Naidu, Fong Soo Ken dan Yoa Kian How terhalang oleh tempoh masa dan sepatutnya difailkan dalam tempoh enam tahun dari pelaksanaan SPA yang berakhir pada tahun 2018.

Menurut mahkamah itu, fakta menarik dalam kes Obata dan Vignesh ialah kedua-dua mereka sudah menerima bayaran LAD daripada pemaju Prema Bonanza Sdn Bhd kerana lewat penghantaran milikan kosong.

Mahkamah juga memutuskan Soo Ken dan Kian How tidak boleh dibenarkan untuk mengemukakan cabaran sampingan terhadap keputusan pengawal perumahan untuk memberikan pemaju, Sri Damansara Sdn Bhd lanjutan masa bagi menyiapkan projek perumahannya.

Pada tahun 2012, Obata membeli dua unit pangsapuri mewah di The Sentral Residences, Kuala Lumpur daripada Prema Bonanza dengan harga lebih RM3.78 juta.

Di bawah terma SPA, Prema Bonanza dikehendaki menyerahkan milikan kosong unit dalam tempoh 54 bulan iaitu menjelang Disember 2016. Bagaimanapun milikan kosong hanya dihantar pada Februari 2017, kira-kira dua bulan kemudian.

Mahkamah tertinggi itu memutuskan bahawa keputusan kes Ang Ming Lee pada tahun 2020 yang menimbulkan isu bagi pemaju walaupun mereka menerima EOT sebelum keputusan hari ini, hanya terpakai untuk kes masa hadapan dan bukan kes terdahulu.

Dalam kes itu yang juga diputuskan Mahkamah Persekutuan, menyatakan menteri tidak mempunyai kuasa mewakilkan kepada Pengawal Perumahan, menurut Peraturan 11(3) Peraturan-Peraturan Pembangunan Perumahan 1989 (HDR 1989), untuk mengetepikan tempoh masa penyiapan hartanah daripada 36 bulan hingga 42 bulan atau lebih tanpa mendapat kebenaran daripada pembeli.

Mahkamah hari ini memutuskan, pembeli rumah dihadkan daripada mencabar atau mendapatkan pampasan bagi kelewatan yang diluluskan sebelum keputusan Ang Ming Lee, dan mereka mesti menerima lanjutan yang diberikan kepada pemaju sebelum keputusan itu.

Mahkamah berkata pembeli rumah tidak boleh bergantung pada keputusan Ang Ming Lee untuk memperoleh keuntungan kewangan terhadap pembangun yang sudah memperoleh EOT sebelum keputusan penting itu.

Keputusan itu dibuat selepas menimbangkan faktor keadilan kes, dan keadaan luar biasa yang terpakai untuk rayuan terbabit.

Menurut mahkamah, jika keputusan dalam Ang Ming Lee mempunyai kesan retrospektif (perubahan dilaksanakan yang mempengaruhi masa lalu selain masa kini dan masa depan), ia memberikan kesan serius kepada industri pembangunan perumahan dan pemaju yang pada setiap masa mematuhi undang-undang, yang pada ketika itu adalah sah.

Ia menyatakan bahawa kes Ang Ming Lee tidak membincangkan mengenai isu tempoh had.

Berhubung perkara itu, mahkamah memutuskan bahawa apabila tuntutan dikemukakan atas pelanggaran kontrak, ia mesti difailkan dalam tempoh enam tahun.

Tempoh itu bermula pada masa paling awal pembeli boleh memfailkan tindakan iaitu daripada tarikh pelaksanaan SPA atau daripada tarikh pelanggaran mana-mana syarat SPA.

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/07/1276648/2-pemaju-menang-rayuan-berhubung-kelewatan-serahan-milikan-kosong

 

 


>> Back to News


Print