shopify analytics ecommerce
tracking

'Kerajaan mampu sedia dana deposit MADANI'

27 Aug 2024

KUALA LUMPUR: Kerajaan mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk menyediakan dana deposit MADANI kepada pembeli rumah pertama terutama golongan belia dalam kalangan B40 dan M40.

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata ia berikutan hasil kerajaan bertambah saban tahun.

Katanya, sebagai contoh menerusi pengenalan cukai baharu seperti cukai keuntungan modal dan cukai barangan mewah yang memberi tumpuan kepada golongan T20 yang mampu menjadi antara sumber meningkatkan hasil pendapatan negara.

"Pada masa sama, tahun hadapan dapat dilihat rasionalisasi subsidi petrol akan bermula dan ini akan menjimatkan lagi kewangan negara untuk disalurkan kepada rakyat termasuk menerusi inisiatif deposit MADANI ini.

"Selain itu, saya lihat jika tahap penguatkuasaan terhadap penyeludupan diesel dan petrol atau barangan terkawal seperti minyak masak dapat dibanteras, maka lebih banyak pembaziran ketirisan dapat dielakkan," katanya kepada BH.

Semalam, media melaporkan inisiatif deposit MADANI sehingga RM30,000 untuk pembeli rumah pertama antara cadangan untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2025.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang melaksanakan pemberian deposit itu selaras dengan dasar kerajaan 'Rumahku, Syurgaku'.

Menteri KPKT, Nga Kor Ming, dilaporkan berkata inisiatif itu bertujuan meringankan bayaran bulanan pembeli rumah pertama terutama golongan belia dalam kalangan B40 dan M40 serta merealisasikan aspirasi kementerian agar setiap rakyat memiliki tempat tinggal.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berharap, inisiatif itu jika pembeli perlu membayar balik, boleh menggunakan konsep tanpa kadar faedah.

Selain itu, inisiatif itu jika boleh tidak hanya terbuka atau tertakluk kepada skim pinjaman melalui bank tetapi boleh juga diperluaskan untuk mana-mana skim pembiayaan lain seperti skim musharakah mutanaqisah iaitu sewa beli yang tidak semestinya menerusi institusi kewangan seperti bank.

"Ini kerana kalau boleh jika mahu galakkan pembeli rumah, ia tidak semata-mata meminjam untuk membeli rumah tetapi mereka diberi peluang untuk membeli rumah melalui skim lain seperti sewa beli," katanya.

Akuinya, inisiatif deposit MADANI adalah satu inisiatif yang baik oleh kerajaan kerana ia memberi fokus kepada rakyat selain usaha meningkatkan gaji yang boleh membantu meningkatkan kualiti hidup dan merapatkan jurang kekayaan.

"Inisiatif ini jelas mahu memastikan rakyat mempunyai aset seperti rumah," katanya.

Ditanya sama ada kemungkinan dana itu akan diserap dalam kos pembinaan sekali gus menghasilkan rumah tidak berkualiti, beliau berkata ia tiada kaitan kerana pemaju berhak meletakkan harga rumah.

Namun katanya, jika pemaju berasakan orang ramai dapat membeli rumah, sudah pasti pihak berkenaan akan menaikkan harga sekali gus menyebabkan berlaku situasi harga rumah akan menjadi mahal.

"Oleh itu saya cadangkan inisiatif deposit itu mesti dipadankan dengan harga rumah iaitu jika deposit RM30,000, mungkin kelayakan harga rumah tidak lebih RM300,000 supaya pemaju tidak mengambil kesempatan," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/08/1288411/kerajaan-mampu-sedia-dana-deposit-madani

 


>> Back to News


Print